Beberapa tokoh dalam industri pembinaan negara mendakwa bahawa industri tersebut mudah dibelenggu rasuah yang perlu ditangani dengan kesungguhan politik.

Bercakap dalam forum dua hari mengenai "Integriti dalam Sektor Pembinaan" yang berakhir semalam, mereka berkata, rasuah dan birokrasi dalam sektor tersebut telah menjejaskan perniagaan bernilai berbilion ringgi.

Menurut laporan Bernama, forum dua hari itu diadakan di Institut Integriti Malaysia (MII) di Kuala Lumpur.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Datuk Roslan Awang Chik mendakwa, sogokan berlaku di pelbagai peringkat dalam industri ini dari pemberian lesen, tender, rundingan, kelulusan projek atau daripada menerima hingga siapnya sesuatu projek itu.

"Jika kita berpegang kepada prinsip kita, kita tidak akan mendapat projek itu," katanya sambil menjelaskan, ini membuatkan sektor pembinaan dilihat korup.

Penceramah lain pada forum berkenaan berkata industri itu begitu dibelenggu rasuah kerana terlalu ramai yang terlibat dalam keseluruhan rantaian kerja.

"Akan sentiasa ada pemberi dan penerima kontraktor dan pembuat keputusan, kontraktor dan perunding, dan kontraktor dengan pembekal," kata Roslan.

Kesungguhan politik

Bekas ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah Datuk Shafee Yahaya yang juga ahli MII berkata, kerajaan patut bertindak segera untuk membendung gejala rasuah yang semakin membesar dalam sektor itu.

"Ia berpunca daripada kegagalan dalam sistem penyampaian. Peserta industri merana disebabkan kerenah birokrasi.

"Negeri-negeri, kementerian dan kerajaan patut memberikan keutamaan (menangani masalah ini). Kesungguhan politik adalah yang paling utama diperlukan dalam kebanyakan kes," katanya.

Forum itu juga diberitahu bahawa industri itu penuh dengan masalah kelewatan dalam meluluskan projek, projek yang tidak siap, mutu kerja yang rendah, kos berlebihan dan pembayaran lewat kepada kontraktor yang sama ada wujud kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan rasuah.

Para peserta industri turut mengakui bahawa tahap integriti agak rendah.

Transparency International dalam laporan terbarunya, menyifatkan rasuah dalam sektor pembinaan sudah mencapai satu tahap yang menyedihkan sambil menekankan bahawa tidak ada tempat di mana rasuah telah begitu berakar umbi berbanding dengan sektor pembinaan.

Para penceramah mempersoalkan bahawa rasuah meningkatkan kos serta merendahkan kualiti pembangunan dan proses pemberian kontrak yang korup, akan membuatkan negara membangun dibebani dengan infrastruktur yang rendah standardnya dan hutang yang berlebihan.

Integriti industri

"Hasilnya mencerminkan integriti keseluruhan industri," kata Prof Dr Khairuddin Abdul Rashid dari Universiti Islam Antarabangsa, sambil menegaskan, sektor itu sudah terlalu lama dicemari dengan amalan yang tidak beretika.

"Keseluruhan rantaian pemerolehan perlu disiasat dan para pembuat keputusan serta peserta industri patut memperbetulkan kelemahan ini.

"Sebahagian besar risiko (perniagaan) telah ditolak kepada kontraktor, agihan risiko itu perlu diawasi," katanya.

Memandangkan amalan tidak beretika ini telah mencemarkan imej sektor itu, kerajaan mencadangkan satu kod etika -- yang kemungkinan akan dilaksanakan tahun depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu yang merasmikan forum itu anjuran bersama MII dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, berkata ketelusan yang diperbaiki boleh memberikan kesan yang penting terhadap sistem pemerolehan dan tender sektor awam.

"Kami juga menyedari kos tambahan terhadap perniagaan dan ekonomi yang timbul daripada kurangnya ketelusan.

"Dengan mempunyai proses yang cekap dan telus akan mengurangkan ketidaktentuan serta mengehadkan peluang bagi rasuah dan sogokan," katanya.