Mahkamah Australia bebaskan gadis 'jutawan segera' M'sia
Seorang wanita Malaysia yang menjadi jutawan segera kerana kesilapan sebuah bank di Australia dibebaskan daripada semua dakwaan melakukan penipuan oleh mahkamah negara itu, lapor media Australia hari ini.
Christine Lee Jia Xin sebelum ini didakwa secara "tidak jujur memperoleh kepentingan kewangan melalui penipuan" dan "dengan sengaja berurusan dengan hasil jenayah" pada Mei 2016.
Gadis itu didakwa membelanjakan A$ 4.6 juta (kira-kira RM14.27 juta) untuk membeli beg tangan mewah, kasut dan barang kemas selepas bank Westpac secara tidak sengaja memberikan overdraf tanpa had pada tahun 2014.
Kes itu digugurkan selepas kes yang hampir sama sebelum ini disingkirkan oleh mahkamah, lapor The Daily Telegraph.
Menurut portal itu, pelajar berusia 22 tahun dari Universiti Sydney itu berkata melalui peguamnya bahawa dia sangat gembira dapat meneruskan kehidupan di Malaysia.
"Tiada penipuan. Ia adalah kes yang sangat menarik dan hasil yang menarik. Jelas sekali bank perlu mengamalkan dasar yang lebih baik," kata peguamnya, Hugo Aston.
Pendakwaan sivil
Menurut laporan itu, Westpac kini akan memfailkan pendakwaan sivil terhadap Lee.
Westpac pertama kali dimaklumkan mengenai perbelanjaan Lee pada bulan April 2015 apabila dia memindahkan A$ 1.15 juta (RM3.57 juta) ke akaun PayPal beliau dalam 14 transaksi dalam tempoh masa satu hari.
Pada April 2016, Lee mengembalikan barangan bernilai A$ 1 juta (RM3.1 juta) termasuk gelang Cartier dan beg tangan dari Hermes dan Christian Dior ke bank berkenaan.
Mahkamah Agung New South Wales kemudian memutuskan bahawa Westpac boleh merampas mana-mana asetnya untuk membayar baki A$ 3.5 juta (RM10.86 juta).
Pada 4 Mei 2016, Lee ditangkap oleh polis di Lapangan Terbang Sydney ketika cuba menaiki penerbangan ke Malaysia.
Sangka ibu bapa kirimkan wang
Dia muncul di mahkamah pada keesokan harinya dan mendakwa menyangka ibu bapanya yang telah mengirimkan sejumlah besar wang ke akaunnya dalam bank Westpac, menurut akhbar The Age yang berpangkalan di Melbourne.
Pada masa itu, majistret meragui sama ada wang yang dibelanjakan Lee adalah "hasil jenayah" dan sama ada dia telah melanggar undang-undang. Lee kemudian dibebaskan dengan jaminan.
Mahkamah kemudiannya mendapati Lee tidak bersalah dan semua tuduhan jenayah terhadapnya oleh polis dan timbalan pendakwaraya diketepikan.
Aston memberitahu The Age bahawa kes anak guamnya menunjukkan bahawa bank harus "menyedari bahawa mereka perlu menguruskan polisi mereka dengan lebih baik".

