Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal ikrar 'kuburkan' Ng Suee Lim di Sekinchan

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berikrar akan menjatuhkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Kalau Ng Suee Lim nak bergelar YB keluar dari Sekinchan dan cari kawasan lain. Kami akan kuburkan beliau kali ini, kami takkan beri ruang kali ini.

“Dulu lain, sekarang zaman Jamal Yunus di Sekinchan. Saya akan pastikan Ng Sue Lim tak ada peluang,” katanya kepada pemberita selepas membuat jualan ikan di Flat Taman Datuk Ahmad Ghazali, Ampang, hari ini.

Jamal berkata pihaknya juga akan membuat kejutan sehingga Sekinchan yang juga kerusi tradisi DAP selama tiga penggal itu kembali kepada BN.

“Kami dah buat persediaan rapi hadapi PRU14. Saya dan rakan-rakan akan buat kejutan di Sungai Besar untuk rampas kembali Sekinchan yang tak pernah menang. PRU14 saya akan pastikan Dun Sekincahn kembali ke BN,” katanya.

Jamal berkata demikian mengulas saranan Suee Lim supaya beliau terlebih dahulu bertanding di Sekinchan sebelum bertanding di DUN Bukit Antarabangsa.

Suee Lim berkata Jamal perlu berdepan dengannya dalam PRU14 di Sekinchan bagi membuktikan sokongan ke Bukit Antarabangsa.

'Lawan saya di Bukit Antarabangsa'

Mengulas lanjut, Jamal berkata tujuan beliau ingin bertanding DUN Antarabangsa kerana Ng Suee Lim bukanlah lawannya serta inginkan cabaran yang lebih besar.

“Saya nak cabaran lebih besar kerana Ng Suee Lim bukan lawan saya kerana lawan saya di Bukit Antarabangsa,” katanya.

Jamal sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding menentang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali di Bukit Antarabangsa pada PRU14.

Katanya, hasrat itu sudah disampaikan kepada pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan pemimpin bahagian Ampang.

Sementara itu Jamal hari ini membawa poster kempen tertera wajahnya yang bertulis “bakal calon N19 Bukit Antarabangsa” dan “Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkhidmat untuk rakyat”.

Poster-poster itu disangkut pada tiang ketika program jualan ikan murah yang dilakukan di Ampang.

Jamal turut menasihatkan peniaga ikan supaya jangan mendapatkan ikan melalui orang tengah sebaliknya membelinya sendiri daripada nelayan kerana harganya jauh lebih murah.

Harga jualan ikan Jamal hari ini adalah RM5 sekilogram bagi Kembung, Mambong dan Cencaru namun terhad sebanyak dua kilogram setiap pelanggan.

Selain itu, Jamal turut menjual ayam bersaiz besar dengan harga RM12 seekor dan petai.

Lihat Komen
ADS