Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Bukti dari Dr M tiada dalam laporan RCI forex
Diterbitkan:  Dec 1, 2017 9:40 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian tukaran mata wang asing melibatkan Bank Negara pada tahun 1990-an tidak memasukkan dokumen-dokumen penting yang dibekalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pendengaran itu, kata peguam Hanif Khatri Abdulla.

Peguam kepada bekas perdana menteri itu memberitahu Malaysiakini bahawa anak guamnya telah menyediakan 495 muka surat dokumen sokongan dan penyerahan bertulis.

"Sesiapa sahaja yang membaca laporan itu hanya akan mengetahui hasil penemuan dan cadangan RCI, tanpa mengetahui apa bahan yang dikemukakan oleh anak guam saya.

"Itu tidak adil. Ia adalah laporan setengah masak," katanya.

Sehubungan itu, Hanif berkata beliau akan menulis surat kepada Sekretariat RCI Isnin ini untuk menuntut agar 495 halaman itu dimasukkan ke dalam laporan itu sebelum diedarkan secara terbuka.

Hanif berkata jika sekretariat itu tidak memberikan jawapan yang memuaskan pada 8 Disember ini, beliau akan memulakan proses semakan kehakiman untuk "memperbetulkan" laporan itu seperti diarahkan.

"Kami akan meminta perintah mahkamah untuk melarang penerbitan dan peredaran laporan itu, yang menurut pendapat kami, telah direka untuk menipu parlimen dan orang awam.

"Ia mengandungi cerita setengah masak yang hanya bertujuan untuk melanjutkan tujuan-tujuan tidak jujur parti pemerintah," katanya.

RCI membuat kesimpulan bahawa Bank Negara mencatatkan kerugian sebanyak RM31.5 bilion antara 1992 dan 1994 dengan melakukan spekulasi di pasaran forex.

Selain menyalahkan bekas pegawai Bank Negara, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, suruhanjaya itu turut menyimpulkan Mahathir bersama bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin bertanggungjawab atas kerugian berkenaan serta mengelirukan kabinet.

RCI yang ditubuhkan juga mencadangkan agar kesemua mereka disiasat.

Susulan itu polis menubuhkan sebuah pasukan khas bagi melakukan siasatan.

Lihat Komen
ADS