Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam menghadapi serangan bertali arus terhadap kepimpinannya.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Najib harus dibantu dan disokong oleh semua pihak.

Malah, Ahmad Zahid sekali lagi memberi jaminan akan mempertahankan dan membantu Najib dalam agenda memartabatkan negara.

“Perdana Menteri mempunyai kesungguhan politik yang tinggi tetapi beliau tidak harus dibiarkan keseorangan. Beliau diasak, dihenyak, ditembak, dihujani pelbagai isu.

"Beliau tidak hilang fokus walaupun asakan itu bertubi-tubi kerana darah Tun Razak mengalir dalam tubuh beliau, kesabaran dan ketahanan beliau memang tiada tandingan.

"Beliau luar biasa, jangan biarkan beliau keseorangan. Saya (berjanji) akan terus membantu beliau menterjemahkan perjuangan beliau dan juga jangan biarkan kami berdua. Tapi ada Majlis Perundingan Melayu (MPM) juga perlu merealisasikan perkara ini,” kata Zahid ketika berucap merasmikan wisma MPM di ibu negara hari ini.

Zahid dalam ucapannya turut mengumumkan komitmen membantu MPM membayar sewa bangunan Bina Daulah yang didirikan mereka berjumlah RM2,800 sebulan selama 10 tahun.

Menurutnya, MPM perlu memberikan keutamaan dalam fokus pembangunan bangsa dan tidak diganggu urusan pentadbiran seperti bil utiliti dan sewa bangunan.

“Jangan tanya di mana saya akan mencari duit ‘halalan toyyiba’ untuk menyelesaikan jumlah tersebut. Perkara yang paling penting adalah jangan bimbang, saya selesaikan," katanya.