Hubungan penduduk selatan Thai dengan pihak berkuasa masih tegang
Ia suatu senario yang agak aneh di atas pentas, sekumpulan "Pendikir Barat" bersenandung menghiburkan kira-kira 2,000 penonton, tetapi di sekeliling mereka sekumpulan anggota pasukan keselamatan bersenjata lengkap berdiri mengawasi keadaan.
Ia suatu senario yang agak aneh di atas pentas, sekumpulan "Pendikir Barat" bersenandung menghiburkan kira-kira 2,000 penonton, tetapi di sekeliling mereka sekumpulan anggota pasukan keselamatan bersenjata lengkap berdiri mengawasi keadaan.
Majlis yang sepatutnya menceriakan penonton selepas lebih 20 bulan dibayangi ketakutan, ternyata gagal memenuhi matlamatnya, kerana rata-rata penduduk di daerah Ragae, Narathiwat itu terlalu `gementar' untuk menikmati persembahan kebudayaan yang sudah agak lama dipinggirkan.
Ternyata persembahan dikir barat itu yang merupakan salah satu acara di majlis pertemuan penduduk daerah di wilayah yang bergolak itu, dengan pihak tentera baru-baru ini, dilihat gagal memberi keyakinan kepada penduduk bahawa keamanan di Selatan Thai kian pulih.
Majlis itu hanya berjaya menarik minat segelintir masyarakat daerah Ragae yang terdiri daripada enam buah kampung dan mempunyai kira-kira 12,000 penduduk.
Suasana "takut dan marah" itu berpunca daripada tragedi bulan Oktober tahun lalu yang menyaksikan lebih 100 orang penduduk Islam mati ditembak oleh pihak keselamatan Thailand dalam satu demonstrasi membantah penahanan enam guru agama di daerah Tak Bai.
Peristiwa seorang imam dihormati di Kampung Sungai Padi, Satopa Yuso yang dikatakan mati ditembak oleh pasukan keselamatan Thai pada 29 Ogos lalu, membangkitkan lagi kemarahan penduduk sehingga hampir tercetus pertempuran antara mereka dengan pihak tentera.
Sejak Januari lalu, lebih 800 penduduk Islam di Selatan Thai terbunuh akibat pergolakan yang berpunca daripada kebangkitan semula kumpulan pemisah yang menuntut kemerdekaan di tiga wilayah iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala.
Khabar angin
Walaupun dalam tempoh setahun ini terdapat usaha kerajaan cuba membaiki imej pasukan keselamatan dengan menggunakan kaedah diplomasi, kesangsian masyarakat Islam di ketiga-tiga wilayah itu dilihat masih menebal, tambahan pula dengan munculnya khabar angin kononnya puak pemisah cuba memburukkan hubungan masyarakat dengan pihak berkuasa.
Keadaan diburukkan lagi oleh dakwaan kononnya pengedar dadah yang tidak berpuashati terhadap langkah kerajaan melancarkan perang ke atas mereka, mengambil kesempatan mensabotaj usaha memulihkan hubungan antara penduduk Islam di Selatan Thai dengan pihak berkuasa.
Seorang surirumah Rachni Mamat, 30, yang ditemui di Kampung Ragae berkata, penduduk kini lebih suka menghabiskan masa di rumah daripada melakukan aktiviti di luar kerana bimbang menjadi mangsa bom atau peluru.
Katanya, walaupun pihak keselamatan mengawal segenap penjuru daerah dengan rondaan dan sekatan jalan raya, kesangsian terhadap keselamatan diri, tetap wujud di kalangan penduduk yang rata-rata bekerja sebagai penoreh getah.
Bagaimanapun, seorang pegawai tentera Lt. Kol. Sanirot Thumayos menafikan tuduhan kononnya pihak keselamatan bertindak kejam terhadap penduduk Islam, sebaliknya sentiasa menggunakan pendekatan diplomasi.
Malangnya, kata beliau, terdapat pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada ketegangan tersebut untuk menyebarkan khabar angin di kalangan penduduk mengenai keganasan tentera.
Beliau berkata, sejak lebih setahun lalu kerajaan telah berusaha memberi penerangan kepada penduduk dengan mengadakan pertemuan antara ulama dan ketua kampung dalam membendung khabar-khabar angin yang boleh mengeruhkan lagi situasi.
Sanirot juga mendakwa kerajaan Thai tidak mengenakan undang-undang tentera ke atas tiga wilayah berkenaan seperti yang didakwa segelintir masyarakat.
Pengedar dadah
"Kita hanya menggunakan seksyen-seksyen tertentu dalam undang-undang itu untuk mencegah kejadian yang tidak diingini," katanya ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun beberapa kalangan di sini berkata penafian penglibatan pihak tentera dan dakwaan kononnya pergolakan itu dicetuskan puak pemisah pasti menyukarkan lagi usaha memulihkan keamanan.
Seorang bekas anggota puak pemisah yang mahu dikenali hanya sebagai Mokhtar pula berkata pergolakan di selatan Thai mungkin berpunca daripada perbuatan pengedar dadah yang cuba mengalih perhatian pihak berkuasa dengan memporak-perandakan hubungan masyarakat Islam dan kerajaan.
Menurutnya, pengedar dadah tidak berpuashati dengan pengisytiharan perang yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Thaksin Shinawatra ke atas golongan itu pada Februari 2003 sehingga lebih 2,000 orang di kalangan mereka terbunuh di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Pattani Abdul Rahman Daud pula berkata, sehingga kini tiada bukti menunjukkan puak pemisah terlibat dengan insiden pembunuhan penduduk di selatan negara itu.
"Khabar angin kononnya puak pemisah menjadi elemen sabotaj kepada langkah mewujudkan hubungan baik antara kedua-dua pihak adalah cerita lama," katanya.
Beliau mencadangkan agar pihak berkuasa menjalani kursus pemahaman budaya dan agama masyarakat selatan Thai agar mereka tahu bagaimana cara untuk berinteraksi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.