Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Setiap kali musim tengkujuh tiba, mereka menanti paya bekas lombong arang di belakang rumah dipenuhi air. Mereka berwaspada dengan debaran seperti tahun-tahun sudah. 

Sabtu lalu - tanggal 25 November - hujan deru-menderu menghentam segenap inci bumbung dan rumput. Bunyi titis air yang pecah menghentam apa saja yang keras menyelinap ke setiap penjuru lekuk tanah, lubang cacing dan sarang semut.

Kali ini air nampaknya melimpah ke ruang dapur rumah.

Ada enam buah rumah yang yang sentiasa berdepan risiko banjir terletak di sudut seakan membentuk sebuah pulau kecil di Kampung Biah, Jalan Perol, kira-kira 15 kilometer dari bandar Kota Bharu. 

Rumah-rumah ini di kelilingi paya dan bendang padi yang arus airnya bersambung ke sebatang sungai kecil berhampiran, manakala di luar menuju jalan utama terbentang tali air.

Gelisah meranduk hati

Sejak pulang bekerja di Kelantan September, aku menumpang di rumah paling hampir dengan paya yang didiami pasangan nenek dan atuk. Usia mereka masing-masing menjangkau 80-an.

Sabtu lalu, aku, isteri dan anak serta nenek dan atuk masing-masing berada dalam situasi berjaga-jaga. Kami khuatir jika air melimpah melumpuhkan kediaman kami seperti awal Januari lalu dan musim bah sudah-sudah. 

Di luar sana, rakan-rakan wartawan berada di lokasi-lokasi yang sudah dinaiki air. Dada akhbar dan kaca televisyen mulai diisi dengan kisah resah gelisah penduduk meredah banjir. 

Sebahagian penduduk kawasan di Kuala Krai, Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Rantau Panjang mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. Pastinya banjir dialami mereka lebih dahsyat berbanding kami sekeluarga. 

Dan keesokannya di rumah kami, selepas hujan terus menimpa Tanah Serendah Sekebun Bunga ini, pekarangan pulau kecil mula digenangi air. Aku dan jiran-jiran memindahkan kenderaan ke kawasan selamat. 

Kami juga terpaksa menolak sebuah kereta Proton Perdana (kebetulan rosak) milik jiran yang kebetulan tiada di rumah kerana mengikut anak berkursus di Langkawi, Kedah.

Air paya sudah melimpah dan kami dengan kadar segera mengangkut barang-barang rumah di bahagian dapur untuk diletak di kawasan lebih tinggi iaitu ruang tamu. 

Dengan kudrat aku, isteri, atuk, nenek dan bantuan adik lelaki kami mula melakukan operasi mengangkut barang rumah yang termampu.

Daripada seringan-ringan cawan plastik hingga seberat-berat almari kabinet, kami punggah ketika hujan semakin ramah dan tak terlawan.

Pindah ke tempat selamat

Buat masa itu nasib kami serahkan bulat-bulat dengan doa kepada yang Maha Kuasa. 

Hidup mesti terus.

Ketika air di dapur berada pada paras betis, kami memasak di atas tangga. Menunya seringkas ikan sardin, ikan kering dan nasi panas disimbah budu.

Di kala dingin membalut tubuh hidangan semudah itu mejadi begitu menyelerakan.

Kiriman mesej dengan pertanyaan-pertanyaan berbaur bimbang bertali-arus dari adik-beradik, keluarga, rakan dan saudara-mara yang ada di kejauhan. 

Kami tetap tenang dan bertahan. Jiran di depan rumah sudah berpindah ke rumah anaknya yang lebih selamat. 

Ketika pagi semakin tua air kian meningkat menelan anak tangga demi anak tangga. 

Keadaan itu memaksa kami kembali sibuk memindahkan barang dari dapur rumah jiran yang tiada di rumah pula.

Kebetulan mereka tinggalkan kunci kepada kami. 

Sekejap berhenti sekejap berderai

Malam itu kami tidur dalam jaga. Kerap kali aku mengintai paras air dari jendela. Berbalam-balam tikaman hujan disimbah cahaya lampu luar rumah. Dua ekor monyet peliharaan atuk turut bergelut melawan dingin. 

Esok paginya, hari Isnin hujan sekejap lebat sekejap renyai. Paras air tidak berubah dan kami khuatir jika hujan makin lebat, tentu paras air semakin meningkat. 

Seperti fitrahnya air yang melimpah membawa ghairan dan goda yang tersendiri buat anak-anak. Mereka - anak-anak jiran kami - jelas seronok bermain air. 

Sesetengahnya 'berakit' menggunakan tangki air. Berbasikal melawan air yang tergenang di hadapan rumah mereka adalah riang yang dapat difahami.

Dan paras air meningkat menjelang Selasa, kira-kira beberapa sentimeter saja lagi untuk melimpah ke ruang tamu rumah. 

Malam itu kami masih sukar lelapkan mata walaupun badan kepenatan yang amat. Aku juga sudah pindahkan isteri dan anak ke rumah mak. Tinggallah aku, nenek dan atuk bertahan.

Sementara itu, mujurnya hujan tidak lagi terlalu ghairah. Sekejap jeda sekejap berderai memecah sunyi malam. 

Esoknya, matahari masih bersembunyi. Kami bersyukur kerana hujan makin reda, malah limpahan air yang tergenang dari paya dan sawah mulai surut, seperti kudrat kami yang terhad untuk berdepan ujian lebih besar. 

Di lokasi lain, ribuan mangsa banjir seluruh negeri Kelantan terpaksa bertahan di pusat-pusat pemindahan. Walaupun pelbagai kemudahan disediakan, pasti yang dirindui dan dibimbangi adalah rumah sendiri juga. 

Dan bah yang melanda negeri Kelantan kali ini  seperti biasa memberi 'bonus' kepada parti-parti politik untuk berlumba membantu rakyat. 

Sama ada di pihak kerajaan negeri yang dinaungi parti PAS, lawan mereka seperti Umno dan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) juga dilihat memberi tumpuan penuh menyantuni mangsa-mangsa banjir. 

Malah ada di kalangan parti yang bertembung antara satu sama lain di lokasi penempatan mangsa banjir ketika sama-sama turun mengagihkan bantuan. 

Barangkali itu antara hikmahnya banjir. Arus politik tempatan terhenti seketika demi melayan arus air banjir. Masing-masing menumpukan kudrat kepada ujian yang menimpa ribuan rakyat. 

Dan bertabahlah buat mangsa-mangsa banjir di Kelantan, tuhan sedang menguji kita. 

Lihat Komen
ADS