TPM: Tanggapan rasuah hanya ada dalam BN tak adil
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata persepsi rasuah hanya ada dalam kerajaan negeri yang ditadbir BN adalah tidak adil.
"Untuk memberikan gambaran yang kerajaan (BN) rasuah kerana penglibatan pegawai atau mereka yang berkuasa, ia adalah tuduhan yang tidak adil.
"Seolah-olah kerajaan BN yang tulang belakangnya Umno (sahaja) diberi persepsi negatif ini," katanya Persidangan Pemerkasaan Generasi Baharu 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.'
Beliau menyatakan keyakinannya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang bagi membanteras gejala itu.
"Tetapi kita yakin SPRM juga melihat bagaimana amalan, jika ada, pada kerajaan negeri yang bukan dipimpin Umno BN.
"Saya yakin SPRM juga akan melakukan siasatan sehingga ke akar umbi (terhadap kerajaan negeri yang bukan ditadbir BN)," katanya lagi.
Acara yang dianjurkan Kelab Umno Luar Negara itu dihadiri 300 peserta dengan tema "Negara menentang rasuah demi pembangunan, keamanan dan keselamatan".
Untuk 2016, Malaysia berada pada kedudukan ke-55 dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International (TI), merosot satu kedudukan berbanding tahun sebelumnya.
Laporan TI itu menunjukkan markah negara menurun kepada 49 mata pada 2015 kepada 50 mata pada 2016.
Walaupun dengan kemerosotan itu, kedudukan Malaysia masih ketiga tertinggi di Asia Tenggara, di belakang Singapura (ke-7) dan Brunei (ke-41).
Mengulas kedudukan negara dalam indeks terbaru itu, Zahid yang juga menteri dalam negeri menggesa semua pihak termasuk sektor swasta dan korporat perlu bertanggungjawab dalam memperbaiki kedudukan negara.
Selain sektor awam, beliau menggesa SPRM turut memantau sektor swasta dan korporat, serta menggesa dua sektor itu turut melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) seperti yang telah dilakukan agensi kerajaan.
"Kita sering melihat penerima rasuah di kalangan sektor awam disiasat dan dihukum. (Tetapi) tiada yang menerima jika tiada yang memberi," katanya.
Katanya lagi, tumpuan juga perlu diberikan kepada pemberi rasuah yang biasanya daripada sektor swasta.
"Rasuah bukan sahaja jenayah yang merosakkan pentadbiran negara, tetapi juga imej (sektor) swasta.
"Tidak adil apabila siasatan dan hukuman dikenakan kepada penerima. Saya tak nafikan pemberi rasuah juga menerima hukuman, tetapi kita jarang mendengarnya," katanya lagi.

