Paling Popular
Terkini

Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini tidak mendengar kes terhadap pengarah dan pengerusi NGO Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa seperti yang dijadualkan tetapi kes itu kekal 'di bawah siasatan' Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Namun, Farouk tidak tahu tarikh baru mahkamah dan tempat yang perlu untuk beliau hadir selepas menerima arahan bertentangan daripada pihak berkuasa agama itu.

Oktober lalu, Farouk didakwa kerana 'bersubahat dalam jenayah' di bawah Seksyen 43 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Manakala Farouk menerima surat meminta beliau hadir di Mahkamah Syariah, beliau mendakwa pembantunya Suhaib Ar-Rumi diberitahu pegawai JAWI secara lisa bahawa Farouk perlu hadir ke ibu pejabat JAWI di Kuala Lumpur.

Memandangkan terdapat arahan yang berlawanan ini, peguam beliau Rosli Dahlan (gambar, bawah, kanan) telah menghantar beberapa surat kepada JAWi dan Mahkamah Syariah bagi memohon penjelasan.

Mahkamah memberi maklum balas ia tidak menerima kertas siasatan daripada JAWI.

Sementara itu, JAWI pada surat bertarikh 23 November berkata kes itu 'kekal berada di tahap penyiasatan' tetapi tidak menjawab sama ada Farouk masih perlu hadir atau tempat yang perlu beliau hadir.

Malaysiakini telah melihat surat-surat tersebut.

Ketika dihubungi hari ini, Rosli mengesahkan tiada pendengaran kes hari ini.

"Setakat ini belum ada lagi pendakwaan.

"Mereka (Mahkamah Syariah) tidak dapat memberikan saya dokumen dan maklumat yang saya minta (kerana Jawi tidak memberikan mereka kertas siasatan)," beliau memberitahu Malaysiakini.

Bagi Farouk, kes ini 'sangat mengelirukan' buatnya.

"JAWI tidak tahu sama ada saya perlu pergi ke JAWI atau ke Mahkamah Syariah.

"Jika kamu membaca surat-surat (antara peguam saya dan pihak berkuasa)...kamu akan sedar betapa pihak berkuasa ini tidak cekap," kata beliau ketika dihubungi Malaysiakini.

Farouk berhadapan masalah dengan pihak berkuasa selepas IRF menganjurkan beberapa majlis forum (gambar, atas) dan pelancaran buku yang menampilkan wartawan dan sarjana Amerika Syarikat keturunan Turki, Mustafa Akyol pada September lalu.

Mustafa dijadualkan berucap dalam forum berjudul 'The Islamic Jesus: the Commonalities Between Judaism, Christianity and Islam' tetapi dipanggil Jawi dan kemudiannya ditahan di lapangan terbang.

Kemudiannya, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan terjemahan buku-buku Mustafa oleh IRF bersama dua buku Farouk.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS