Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Skandal hartanah Johor: ADUN HARAPAN desak tubuh RCI

Wakil Rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan rasuah melibatkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bercakap kepada pemberita selepas sidang terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk sesi ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Shu Qi berkata, pembangkang negeri itu tidak berpuas hati dengan penjelasan Khaled ketika ucapan penggulungannya pagi tadi.

"Menteri besar hanya jelaskan satu dakwaan yang disebut dokumen (kenyataan saksi) itu. Banyak lagi keraguan lain terhadapnya yang dibangkitkan dokumen itu.

"Penjelasan (untuk dakwaan lain) turut diperlukan, dan kami rasa Menteri Besar tidak sepatutnya berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Lebih sesuai jika kerajaan negeri menggesa penubuhan RCI, untuk menyiasat kes ini secara terperinci," katanya yang disertai adun HARAPAN Johor yang lain.

Mereka mengangkat sepanduk "SPRM siasat MB" dan "JO1", bermaksud "Johor Official 1".

Ia merujuk kepada Khaled selaku pemimpin pentadbiran negeri itu, dan diambil daripada istilah "Malaysian Official 1" yang digunakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam saman sivil mereka berkaitan 1MDB.

Pada masa sama, perhimpunan "siasat JO1" jika diadakan oleh kira-kira 40 anggota dan aktivis Harapan Johor di terminal bas Kota Iskandar, Nusajaya.

Khaled dalam ucapan penggulungan Bajet 2018 negeri di DUN pagi tadi menafikan dakwaan beliau berkaitan kes hartanah di Johor, yang menyaksikan antara lain bekas Exco Datuk Abd Latiff Bandi didakwa awal tahun ini.

Berdasarkan kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM )yang bocor, Wong minggu lalu mempersoalkan sama ada Khaled menerima RM12 juta untuk membuang status bumiputera untuk projek hartanah tertentu.

Dalam pada itu, Wong menggesa SPRM menjelaskan bahagian manakah dalam dokumen tersebut yang masih tulen dan yang telah diubah seperti didakwa beberapa pihak.

ADUN Bukit Batu Jimmy Puah (gambar) pula menyifatkan Khaled cuba menakut-nakutkan Wong dan berselindung di sebalik 'sub judice' untuk mengelak daripada menjawab soalan.

"Sebenarnya di Malaysia, soal sub judice tidak relevan. Ia adalah peraturan yang bermula di United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk mengelak juri dipengaruhi dalam perbicaraan yang melibatkan rakyat biasa.

"Tetapi di Malaysia, sistem juri sudah dimansuhkan maka peraturan sub judice tidak lagi terpakai," katanya sambil berkata Khaled tidak boleh sekadar menafikan dakwaan itu.

Kenyataan saksi yang dibangkitkan Wong dikaitkan dengan Amir Shariffuddin Abd Raub, salah seorang yang didakwa bersama-sama bekas Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi awal tahun ini atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM kemudian mengesahkan kebocoran dokumen tersebut, sementara Amir Shariffuddin mendakwa kenyataannya dalam dokumen yang tersebar itu telah diubah dan membuat laporan polis.

Kes Amir Shariffuddin dan Abd Latif dijadual dibicarakan di Mahakamh Sesyen Johor pagi ini.

Lihat Komen
ADS