G25: Pihak berkuasa agama jangan sembunyi di balik hak istimewa Islam
Kumpulan G25 menggesa pihak berkuasa agama mengambil iktibar daripada keprihatinan yang dititahkan Raja-Raja Melayu, paling baru daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
"Titah Sultan merupakan peringatan kepada kita semua bahawa Sultan-Sultan ialah ketua agama Islam di negeri masing-masing.
"Oleh yang demikian, pelaksanaan Islam oleh pihak berkuasa agama perlu dilakukan dengan menghormati hak-hak yang memberi keadilan kepada warga negara," kata kumpulan G25 dalam kenyataan media hari ini.
Menurut kumpulan G25 peringatan Sultan Perak itu datang tepat pada masanya ketika dunia sedang meraikan sambutan Maulidur Rasul.
"Sebarang ketidakadilan memberi gambaran buruk bukan sahaja terhadap Sultan-Sultan (selaku ketua agama negeri) tetapi juga kepada Islam itu sendiri sebagai agama keamanan dan keharmonian," kata kumpulan G25.

Kumpulan G25 berkata mereka setuju sepenuhnya dengan kenyataan Sultan Perak itu.
"Titah beliau adalah amaran yang dikeluarkan dengan cara yang paling diplomatik yang menunjukkan kearifan baginda.
"Pihak berkuasa agama tidak patut sembunyi dibelakang hak istimewa Islam sebagai agama persekutuan bagi mengetepikan komen orang ramai (dengan melabelkannya) sebagai penghinaan kepada penganut Islam dan institusi-institusi Islam, " kata kenyataan itu lagi.
Pada 1 Disember 2017 lalu, Sultan Nazrin menegur perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu di negara ini yang membenarkan petugas mereka melakukan pelbagai tindakan atas nama melindungi Islam namun sebenarnya mencemarkan imej agama suci itu.
Baginda bertitah tindakan seperti kaedah soal siasat yang mengandungi elemen seksaan dan deraan, walaupun dibuat atas tujuan mahu menguatkuasakan peraturan demi melindungi Islam, telah menyebabkan kesucian dan nama baik Islam di negara ini semakin tercalar.
"Kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan-tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan memberi imej tersangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini," titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringkat Negeri Perak di Ipoh.

