Paling Popular
Terkini

ULASAN | Teguran Rizal Mansor kepada artis yang mengeluarkan kenyataan berbaur politik dimedia-media sosial cukup menarik. Ada beberapa aspek yang saya bersetuju dengan beliau.

Teguran itu dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini bertajuk ‘Lepas Fathia Bela Dr M, Pegawai Rosmah Nasihatkan Artis’

Dari laporan berita itu, beliau menasihatkan golongan seni tidak menjadi alat pembangkang.

“Sejarah menunjukkan nasib yang menimpa beberapa artis yang dipergunakan pembangkang yang akhirnya terpaksa kembali kepada dunia seni apabila dipinggir setelah pembangkang mencapai matlamat mereka," kata Rizal.

Saya fikir pandangan beliau ini ada benarnya. Memang kerja memperalatkan artis dan seniman ini berlaku dikalangan parti-parti politik atas tujuan mencari perhatian dan sokongan, tak terkecuali Umno.

Kita dapat lihat nasib yang menimpa artis-artis seperti penyanyi Dayang Ku Intan, Aisyah, Abby Abadi, pelakon Hairie Othman, penulis lirik Bob Lokman, Ito Blues Gang (gambar, atas) dan lain-lain. Keadaan mereka cucuk benar dengan kenyataan Rizal Mansor itu.

Namun demikian, pandangan Rizal mansor ini agak simplistik malah beliau sebenarnya telah memperlekehkan artis-artis yang beliau maksudkan itu. Jikalau artis-artis ini masuk bertanding pilihanraya dan menang, mungkinkah pandangan Rizal Mansor akan berbeza?

Jadi pandangan beliau mengenai nasib artis-artis tersebut hanya berdasarkan kayu ukurnya sahaja. Kita juga sedar, penglibatan artis-artis ke dalam kancah politik kepartian punya banyak sebab dan tujuan, bukan semuanya ‘genuine’ untuk bersama parti politik dan memperjuangkan isu-isu rakyat.

Namun, apa bezanya artis dengan profesion lain seperti ahli perniagaan atau persatuan yang melibatkan diri dalam politik kepartian?

Dikalangan mereka juga bukan semuanya ‘genuine’ untuk berparti politik. Rizal Mansor kenalah beri pandangan yang adil kepada semua golongan.

Malah bila saya teliti, pandangan Rizal mansor ini agak cetek. Beliau hanya mampu melihat artis terlibat dalam politik kepartian. Beliau memandang ‘parti’ sebagai temanya, bukan melihat politik dalam tema yang lebih luas dan besar iaitu demokrasi.

Kelemahan pandangan Rizal Mansor ini tidak baik untuk menyuburkan demokrasi. Demokrasi meletakkan satu konsep yang cukup luas untuk setiap warga melibatkan diri dalam politik. Bukan sekadar menjadi ahli parti atau keluar mengundi.

Parti politik hanyalah salah satu dari banyak platform (wadah) untuk mana-mana warga memilih untuk menyatakan pandangan yang melibatkan kepentingan golongan mereka atau kepentingan awam.

Rizal Mansor tidak dapat melihat politik lebih jauh dari kerangka politik kepartian, sebab itulah dia bekerja sebagai budak suruhan Rosmah Mansor. Namun saya tetap menghormati beliau sebagai seorang ‘Datuk’.

Kita harus faham, setidak-tidaknya ada artis seperti Fathia Latiff yang bintangnya masih kecil berbanding artis lain yang lebih popular, tetapi Fathia berani bersuara tanpa bergantung hidup dengan gaji hasil dari wang cukai rakyat.

Fathia juga bersuara atas kapasiti peribadi tanpa apa-apa wadah parti politik.

Sekalipun Rizal mahu artis-artis ini bebas bersuara menyokong kerajaan kleptokrasinya, beliau juga harus hormat pandangan peribadi artis atau seniman yang berbeza kecenderungan dan pandangan politik.

Saya setuju dengan saranan Rizal Mansor agar artis celik informasi sebelum ‘twit’ atau menulis status di media sosial. Justeru, saya juga berharap, Rizal Mansor juga boleh berlapang dada dengan artis seperti Fathia dan lain-lain. Ini negara demokrasi, bukan negara milik Umno.

Buat seluruh artis dan seniman, bersuaralah dengan bebas. Nyatakan pandangan kalian tanpa rasa malu atau takut. Perlembagaan melindungi hak kita untuk bebas bersuara.


Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS