Media Thailand lancar usaha lindungi kebebasan akhbar
Media di Thailand, yang terkenal dengan kebebasannya, kelancarkan kempen awam bagi melindungi kebebasan media di negara ini selepas hartawan industri hiburan, yang dikatakan mendapat sokongan politik, memperolehi penerbitan dua akhbar utama.
Media di Thailand, yang terkenal dengan kebebasannya, kelancarkan kempen awam bagi melindungi kebebasan media di negara ini selepas hartawan industri hiburan, yang dikatakan mendapat sokongan politik, memperolehi penerbitan dua akhbar utama.
Program perbincangan di akhbar dan televisyen tampil memberi sokongan padu kepada editorial akhbar terbabit, malah mendakwa beberapa ahli politik peringkat tinggi, bertanggungjawab di sebalik langkah tersebut.
Mereka disertai oleh ahli politik pembangkang, kumpulan hak awam, ahli akademik dan penulisan dalam lamanweb online bagi membantah langkah membabitkan 2.6 bilion baht itu.
GMM Media, sebuah unit dalam GMM Grammy yang dikuasai oleh ahli perniagaan Paiboon Damrongchaitham, mengumumkan dua hari lalu, bahawa ia memperolehi 32.23 peratus saham dalam Matichon Plc penerbit dua akhbar berbahasa Thai iaitu Prachachart dan Khao Sod.
Kuasa besar industri hiburan itu turut membeli 20.9 peratus saham dalam Post Publishing yang menerbitkan akhbar berbahasa Inggeris, Bangkok Post serta Post Today, dan kini mensasarkan 23.6 peratus.
Malah akhbar The Nation, iaitu saingan Bangkok Post, menyiarkan berita pengambilalihan itu di muka depan dan mempertahankan akhbar berkenaan.
"Pengambilalihan itu ialah satu kepura-puraan. Ia merupakan serangan ke atas kebebasan akhbar Thailand secara keseluruhannya dan menjadi satu perjuangan yang pembela kebebasan media tidak boleh tewas," kata Nation dalam komentar muka depannya.
Bermotif politik
Menurut laporan Bernama, akhbar tempatan mendakwa, pengambilalihan itu bermotifkan politik, memandangkan Paiboon rapat dengan Thaksin.
"Wartawan memerlukan sokongan masyarakat yang lebih besar. Kebebasan akhbar tidak boleh dipisahkan daripada kesejahteraan masyarakat dan hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat serta pengetahuan."
Akhbar itu berkata, apabila sesuatu perbadanan besar yang disyaki mendapat sokongan tokoh utama politik cuba mengambilalih akhbar yang berpengaruh, masyarakat dan pertubuhan awam tidak seharusnya berpeluk tubuh.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa Khancai Boonpan, iaitu presiden dan pengasas Matichon Plc, berusaha untuk menyekat percubaan mengambilalih itu.
Paiboon setakat ini menafikan bahawa pembelian itu bermotifkan politik, sebaliknya berkata langkah itu bagi memenuhi impian ke arah dunia kewartawanan dan memperluaskan empayar perniagaannya.
Bangkok Post, dalam lidah pengarangnya berkata: "Memadailah untuk mengatakan bahawa kami memerlukan lebih daripada kata-kata Paiboon untuk mempercayai bahawa penerokaan terbaru GMM Media ke dalam media cetak semata-mata kerana perniagaan tidak lebih dari itu".
Ia turut memuatkan pungutan pendapat daripada 1,547 responden di bandaraya ini di mana 72.7 peratus merasakan terdapat campurtangan politik, 60.8 peratus berkata ada motif terselindung di sebalik langkah itu manakala 68.5 peratus lagi tidak bersetuju dengan pembelian itu.

