Tahanan ISA belum diperiksa doktor
Dua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Mohamad Ezam Mohd Nor dan Saari Sungib belum menerima sebarang pemeriksaan kesihatan sejak dimasukkan ke kem Kamunting hampir dua bulan lalu, menurut isteri mereka.
"Ezam tidak pernah menerima sebarang pemeriksaan kesihatan. Ini amat membimbangkan saya," kata Bahirah Tajul Aris, isteri Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional.
Beliau memberitahu malaysiakini hari ini, kesihatan suaminya kini "membimbangkan."
"Tangannya menggeletar sejak mula beliau dihantar ke kem itu dan dua minggu selepas itu, rambutnya mula gugur. Berat badannya juga susut dengan ketara," kata Bahirah lagi. "Beliau memang amat memerlukan pemeriksaan dan rawatan kesihatan."
Bahirah telah menghantar surat permohonan pada 12 Julai agar Mohamad Ezam dibenarkan menerima pemeriksaan kesihatan. Beliau kini masih menunggu jawapan permohonannya itu.
Ketua Pemuda itu dan ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari bersama Naib Presiden Tian Chua dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais ditahan di kem itu selama dua tahun sejak 2 Jun. Manakala dua aktivis parti itu Dr Badrul Amin Bahron dan Lokman Noor Adam ditahan sejak 14 Jun untuk tempoh yang sama.
Aliza Jaffar, isteri Saari, turut mendakwa perkara yang sama.
"Sepanjang pengetahuan saya, tiada pemeriksaan kesihatan untuk suami saya," katanya.
Rakan-rakan mereka, yang turut ditahan, dipercayai belum menerima pemeriksaan itu.
Bahirah juga memberitahu, suaminya kini hanya dibenarkan menerima lawatan daripada "anggota keluarga terdekat" tetapi tidak termasuk adik-beradiknya.
Arahan KDN
"Mulai lawatan Ahad lalu (21 Julai) pihak berkuasa kem mengenakan 'peraturan baru' iaitu lawatan hanya boleh dilakukan oleh ibu bapa Ezam, ibu dan bapa mertuanya, anak dan isteri saja," katanya.
"Ahli keluarga lain termasuk adik beradik Ezam, saudara ipar serta ahli keluarga yang lain tidak dibernarkan."
Menurutnya lagi, had lawatan ahli keluarga itu telah dimaklumkan secara lisan kepadanya oleh pegawai di kem itu.
"Menurut pegawai itu, perkara ini (had lawatan) adalah atas arahan Kementerian Dalam Negeri," kata isteri Mohamad Ezam.
Sementara isteri Saari memberitahu, sejak minggu lalu, kem itu membenarkan lima orang pelawat sahaja.
"Dalam lawatan terbaru (Ahad lalu) kami (saya dan anak-anak) terpaksa bergilir-gilir bertemu Saari kerana had jumlah pelawat itu. Dalam lawatan sebelum ini, kami sekeluarga boleh (masuk) bertemu sekaligus," kata Aliza.
Menurut Aliza, peraturan itu menyebabkan adik Saari gagal masuk.
"Beliau disekat daripada memasuki pintu kawalan yang pertama (pintu utama)," katanya.
"Ia (peraturan baru) suatu yang zalim. Sebelum ini ahli keluarga yang lain tidak mempunyai masalah untuk melawat Saari," tegas Aliza.
Selain itu, Bahirah berkata surat tahanan ISA itu kepada keluarganya tidak diterima.
"Ezam akan menulis surat kepada keluarganya setiap minggu tetapi sejak minggu lalu, kami tidak menerima lagi surat daripadanya. Apabila Ezam ditanya mengenai surat itu Ahad lalu, Ezam mengakui dia menghantar surat seperti biasa," kata Bahirah.

