Liew ingatkan kekebalan wakil rakyat dalam DUN
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mengingatkan tentang kekebalan (imuniti) yang dinikmati wakil rakyat untuk berbahas dalam
Dewan Rakyat dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN).
Justeru, beliau berkata, polis telah menetapkan satu duluan yang berbahaya apabila mahu menyiasat Anggota Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Senai Wong Shu Qi selepas membangkitkan dokumen kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di DUN 27
November lalu.
Dokumen itu mendakwa Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut terlibat dalam skandal hartanah yang menyaksikan
bekas exco Datuk Abd Latif Bandi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
Beliau berkata, soalan Wong (gambar) kepada Khaled sepatutnya dibalas dengan jawapan, bukannya siasatan polis.
"Ucapan yang dibuat di Parlimen atau DUN diberikan imuniti bagi membenarkan wakil rakyat bersuara tanpa takut dan berat sebelah.
"Siasatan polis terhadap ucapan yang dibuat dalam DUN menetapkan duluan bahaya yang mencabuli hak dan keistimewaan wakil rakyat
untuk membangkitkan soalan dan isu bagi pihak rakyat," katanya dalam kenyataan.

Semalam, polis meminta Wong untuk hadir ke sesi soal siasat Jumaat ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 203A Kanun
Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan mendedahkan maklumat, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
berkenaan penyalahgunaan kemudahan komunikasi.
Pada sidang DUN 27 November lalu, Wong merujuk dokumen kenyataan saksi tersebut yang disebarkan melalui sebuah blog. Ia antara
lain mendakwa Khaled menerima suapan RM12 juta bagi menukarkan status hartanah bumiputera kepada bukan bumiputera.
Beliau mendesak Khaled memberi penjelasan sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak.
SPRM mengesahkan pembocoran dokumen berkenaan dan telah membuat laporan polis.
Dalam ucapan penggulungan di DUN Johor Isnin lalu, Khaled menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai "tidak berasas,
fitnah dan tidak benar".

