Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata tidak ada pertikaian antara beliau dan timbalannya Datuk S Subramaniam, tetapi mengakui memang wujud perbezaaan yang besar dalam perkara-perkara berhubung dengan dasar parti.

"Tidak ada pertelagahan untuk diselesaikan, tetapi memang terdapat banyak perbezaan (antara beliau dan Subramaniam). Perbezaan (berhubung) dasar (parti) ini hendaklah diselesaikan melalui masa, dan bukannya oleh saya," kata Presiden MIC itu kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Pembinaan Antarabangsa di Kuala Lumpur hari ini.

Pertelagahan antara pemimpin nombor satu dan dua MIC itu semakin hangat sejak dua minggu lalu apabila Samy Vellu yang telah menjadi presiden parti itu selama 26 tahun secara terbuka berkata terdapat pergisiran antara beliau dan Subramaniam dan beliau lebih berminat jika timbalan baru dipilih dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan Jun tahun depan.

Menurut laporan Bernama, Subramaniam telah menjadi timbalan Samy Vellu sejak Menteri Kerja Raya itu mengambil alih jawatan tertinggi berkenaan secara rasmi pada 1981.

Kedua-dua pemimpin itu pernah bertelagah sebelum ini dan yang terakhir ialah pada 1990 apabila Subramaniam bertanding jawatan presidn menentang Samy Vellu, tetapi kalah. Sejak itu, kedua-dua pemimpin telah berbaik semula.

Luka lama....

Bagaimanapun, luka lama berdarah semula pada 2003, selepas Subramaniam gagal menyokong Samy Vellu berikutan gesaan daripada Datuk M.G. Pandithan, presiden Barisan Progresif (IPF) India, bahawa presiden MIC itu hendaklah mengosongkan jawatannya itu. IPF ialah parti serpihan MIC.

Subramaniam, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kemudiannya digugurkan daripada senarai calon MIC pada pilihanraya umum tahun lalu di bawah tiket Barisan Nasional (BN).

Sejak beberapa bulan lalu, Samy Vellu membuat lawatan untuk menerangkan kepada ahli parti akar umbi bahawa beliau mahukan timbalan baru dan naib presiden MIC Datuk G. Palanivel, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah pilihan beliau. Bagi jawatan tersebut.

Ditanya sama ada beliau telah bertemu dengan Subramaniam bagi menangani masalah tersebut, Samy Vellu berkata belum berbuat demikian.

Ahad lalu, beberapa akhbar menyiarkan gambar kedua-dua pemimpin itu bersalaman apda satu majlis perkahwinan di Ipoh, hujung minggu lalu.

"Saya tidak adakan sebarang pertemuan. Saya duduk di meja dan beliau (Subramaniam) datang ke meja saya (di majlis tersebut) dan berjabat tangan dengan saya. Kita manusia biasa dan apabila seorang itu menghulurkan tangan, kita hendaklah menyambutnya...itu adalah kebiasaan.

"Dasar dan keprihatinan mengenai apa yang hendak kita buat untuk parti adalah berbeza dengan pelakuan manusia. Walaupun jika saya tidak berada dalam MIC dan beliau dalam MIC, saya akan pergi kepadanya dan bersalaman... itu adalah budaya kita," kata Samy Vellu.