Paling Popular
Terkini
story images
story images

PAU2017 I Perhimpunan Agung Umno 2017 menyaksikan pelbagai inisiatif dilakukan para peniaga untuk melariskan produk jualan mereka.

Antaranya, usaha dilakukan penjual produk coklat, Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd yang menjual coklat dengan kertas pembalut yang memaparkan imej presiden Umno termasuklah bekas pemimpinnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditemui Malaysiakini di gerainya yang terletak di aras tiga Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Norsiah Ahiddin berkata bungkusan coklat yang memaparkan wajah Mahathir menjadi pilihan kedua paling diminati selepas Datuk Seri Najib Razak.

“Ini hari keempat (jualan) dan sambutan sangat mengalakkan, bekalan pun banyak dah habis terutama sekali (bungkusan) coklat yang berwajah Datuk Seri Najib Razak," katanya menambah coklat yang memaparkan wajah Mahathir pula dijual sebanyak 800 bungkusan.

Ditanya sambutan luar biasa terhadap coklat Najib, Norsiah menafikan ia disebabkan ketaasuban kepada presiden Umno itu sebaliknya kerana perisa berlainan bagi setiap coklat.

"Kebanyakan yang datang tak suka kacang atau mereka yang alah pada kacang akan pilih perisa coklat biasa, bukan sebab taasub kepada satu-satu pemimpin," katanya.

Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan koleksi wajah-wajah bekas presiden Umno lain yang diabadikan di atas kertas pembungkus coklat berkenaan.

"Setiap coklat ada perisa sendiri, ada kacang, kismis, mocha,” kata Norsiah.

Pewangi Mahathir pula kurang laku

Dalam pada itu terdapat juga penjual produk wangian, HASY Eau De Parfum yang menjual minyak wangi mereka dengan memaparkan wajah pemimpin Umno.

Menurut Hafizan Hassan, idea itu timbul semata-mata mahu menghargai jasa pimpinan Umno terdahulu.

Beliau menjual pewangi itu dengan pakej kompilasi presiden dengan generasinya pada harga RM70 dan RM35 bagi setiap wajah pemimpin.

Bagaimanapun Hafizan berkata jualan "pewangi Mahathir" sedikit hambar dan tidak menolak ia berpunca daripada sokongan anggota parti terhadap bekas presiden Umno itu.

“Kita cuma keluarkan 1,000 unit sahaja bagi setiap wajah pemimpin dan setakat ini kotak perfume yang berwajah Datuk Seri Najib dan ayahandanya (Tun Razak) paling banyak terjual. Setakat ini hanya tinggal 200 unit.

“Tahun ini kita lihat tarikan untuk Mahathir kurang. Manakala, sokongan terhadap Datuk Seri Najib beri kesan kepada hasil jualan kami dan kali ini sokongan lebih kepada presiden Umno,” kata Hafizan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS