Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAU2017 I Siapa sangka di sebalik melakukan pelbagai aksi gimik, Pemimpin Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos dianggap tokoh pembangkang paling disegani di kalangan akar umbi Umno di Selangor.

Tinjauan Malaysiakini di Perhimpunan Agung Umno 2017 (PAU2017) mendapati rata-rata perwakilan dari Selangor memuji gaya kepimpinan dan kreativiti Jamal yang sering tampil membuat kejutan ketika mengadakan bantahan atau melakukan pendedahan melibatkan kerajaan negeri.

Bagi Anggota Jawatankuasa Umno Kota Raja, Raja Nazilah Idris, tanpa pemimpin Baju Merah itu, Umno mungkin gagal menjadi pembangkang yang kuat di Selangor.

“Datuk Jamal adalah tokoh pembangkang sebenar di Selangor.

“Tanpa Jamal Umno gagal jadi pembangkang di negeri Selangor sebab kalau kita nak menang, kita kena jadi pembangkang yang kuat macam pembangkang di peringkat persekutuan mereka mengasak benda yang tak salah jadi salah,” katanya.

Bagi Ketua Penerangan Wanita Umno Sabak Bernam Siti Azizah Hasbullah, Jamal merupakan pemimpin yang berfikir di luar kotak dan hal itu memberikan kelebihan kepada Umno dalam usahanya menawan kembali Selangor.

“Kami sokong penuh pemikiran Datuk Seri Jamal yang berfikir di luar kotak, beri keuntungan dan keyakinan pada rakyat dalam pimpinan Umno BN,” katanya.

Jelasnya, banyak isu yang mencalarkan imej Islam seperti festival arak menyebabkan Jamal bertindak sedemikian.

Ketua Umno Puchong Datuk Mohamad Satim Diman pula berpendapat Jamal bijak dalam mengetengahkan isu serta memainkan peranannya dalam menegur kerajaan Selangor.

“Bukan senang nak cari orang macam Datuk Jamal sering menonjolkan isu-isu penting, yang orang tak nampak, dia nampak.

"Datuk Seri Jamal ada ketokohan cari isu penting dan terjemahkan di depan orang ramai,” katanya.

'Psikologi terbalik'

Tidak hanya menjerit dan membawa sepanduk, Jamal sering muncul dengan pelbagai idea kreatif termasuk membawa peralatan bersesuaian dengan mesej yang hendak disampaikan.

Justeru itu tidak menghairankan apabila beliau dilihat sebagai musuh nombor satu bagi kepimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Antara gimiknya yang terkenal adalah memakai tuala mandi, membawa katil dan van jenazah di hadapan pejabat SUK di Shah Alam.

Selain itu Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu juga pernah menyewa helikopter bagi meninjau kekayaan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly.

Jamal yang sebelum ini memiliki restoran ikan bakar juga bertindak menjual ikan dengan harga murah serta membuka restoran makanan percuma di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini beliau mengumumkan hasrat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mencabar Azmin di Bukit Antarabangsa.

Menurut AJK Umno Bahagian Sabak Bernam, Aminudin Sanguri, parti Melayu itu memerlukan pelbagai kaedah untuk menawan hati rakyat bagi menyokong semula perjuangan Umno BN.

“Apa juga cara asalkan rakyat dapat lihat di landasan yang benar. Secara peribadi amat menyokong (Jamal), yang mana orang lain tak terfikir cara tersebut. Supaya rakyat dapat lihat segala apa yang berlaku. Saya sokonglah,” katanya.

Setiausaha Baju Merah Baharin Mohd Tahir pula berkata tindakan Jamal merupakan ‘reverse psychology’ supaya rakyat sedar bahawa mereka selama ini ditipu pembangkang (Pakatan Harapan).

“Jamal pecah botol arak, pakai kain tuala, bawa katil, bawa kereta mayat itu adalah gimik sebenarnya.

"Jamal nak bagi rakyat sedar dan berfikir secara terbalik, reverse psychology. Nak bagi rakyat sedar yang mereka ditipu,” katanya.

Lihat Komen
ADS