Dua pelajar UTM di JB disahkan dijangkiti penyakit tibi
Dua pelajar perempuan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru disahkan dijangkiti penyakit tibi.
Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata susulan dari itu, Jabatan Kesihatan negeri akan menjalankan ujian saringan penyakit tibi di universiti itu minggu depan.
Menurut beliau, saringan akan dibuat di tempat salah seorang pelajar berkenaan menuntut serta dua asrama yang telah dikenalpasti.
“Pelajar yang dijangkiti berumur 20 dan 22 tahun. Berikutan itu, ujian saringan akan dibuat di kelas pelajar berkenaan dan dua asrama iaitu Kolej Tun Fatimah dan Kolej Perdana.
“Bagaimanapun, bilangan pelajar yang terlibat (saringan) belum dapat dikenalpasti kerana kita masih berbincang dengan UTM,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
- Bernama

