Dr M: Dulu dakwa Umno kafir, kini bantu mereka
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di satu masa mendakwa kerajaan pimpinan Umno kafir tetapi sekarang dia dilihat menjadi penyokong kuat Umno, dakwa bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
"Sekarang Hadi sanggup bekerjasama dengan Umno yang dahulu dikatakan kafir kerana mengekalkan perlembagaan penjajah dan peraturan kafir.
"Sekarang, sebelum menolak amanatnya bahawa Umno kafir, Hadi menjadi penyokong kuat Umno.
"(Ini) kerana tindakan PAS bertanding dalam PRU14 akan mengurangkan undi bagi Pakatan Harapan dan memberi kemenangan kepada kepada (Perdana Menteri) Najib.
"PAS sendiri akan kalah (dalam pilihan raya)," kata Mahathir dalam blognya semalam.
Beliau juga mengeluarkan semula petikan Amanat Hadi yang dikeluarkan semasa kejadian Memali, di mana ahli Parlimen Marang itu kononnya berkata, dia menentang Umno/BN kerana mengekalkan undang-undang penjajah.
Mahathir juga sekali lagi menyalahkan Hadi terhadap insiden berdarah itu, yang mengorbankan 18 nyawa.
Amanat Hadi, dakwa Mahathir, jelas merupakan hasutan terhadap pengikutnya supaya sanggup mati dalam perjuangan menentang pemerintahan Umno/BN yang didakwa kafir.
"Kerajaan berhak menangkap dan memasukkan dalam tahanan Hadi kerana unsur hasutan dalam amanatnya.
"Tetapi Hadi mempunyai ramai pengikut yang fanatik yang boleh cetuskan huru-hara dan rusuhan di seluruh negara. Sebab itu Hadi tidak dimasuk ke dalam tahanan," dakwa Mahathir.
Pemimpin PAS Kedah Ibrahim Mahmud @ Ibrahim Libya adalah salah seorang 'pengikut fanatik' Hadi, katanya.
Dia mendakwa bahawa pada masa itu, Ibrahim telah terpengaruh dengan ajaran dan amanat Hadi untuk cuba menjatuhkan kerajaan dengan pemberontakan bersenjata.
Kerajaan sanggup bertindak terhadap Ibrahim, katanya, kerana tindakan terhadapnya dipercayai tidak akan mengundang reaksi sebesar tindakan terhadap Hadi.
"Rusuhan bersenjata oleh Ibrahim dan pengikutnya sehingga sanggup mati ini dipengaruhi oleh hasutan Hadi dan amanatnya.
"Perkara seperti ini tidak pernah dilakukan oleh orang Melayu selepas merdeka. Ini bukan cara orang-orang Melayu," kata Mahathir.
Walaupun PAS sering menggelar musuh politik mereka sebagai 'kafir', Mahathir mendakwa Hadi adalah orang yang membawa fahaman bahawa pembunuhan musuh politik adalah disuruh oleh agama dan kematian pembunuh adalah syahid.
Insiden Memali pada 19 November 1985 menyaksikan 18 orang terbunuh, termasuk empat orang anggota polis, dan banyak lagi yang cedera ketika polis melancarkan operasi untuk menangkap Ibrahim.

