Surendran: Hakim kata SPR tidak ikut piawai antarabangsa
Anggota Parlimen Padang Serai N Surendaran mendakwa mahkamah semalam berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menepati piawai ketelusan antarabangsa.
“Mahkamah dalam menggugurkan saman kerajaan Selangor berhubung penyempadanan semula mendapati tindakan SPR tidak terikat secara undang-undang dan menjejaskan kerajaan negeri.
“Ini sangat tidak sama dengan mengatakan penyempadanan semula dilakukan secara adil.
“Hakim dalam keputusan lisannya mendapati SPR tidak menepati piawai ketelusan antarabangsa,” kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Surendran lagi, hal ini mengesahkan dan mengukuhkan bantahan pembangkang dan badan awam berkenaan piawai SPR memandangkan keadilan tidak dapat dijamin sekiranya tiada ketelusan.
Beliau berkata demikian sebagai merespons kenyataan pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang semalam berkata keputusan mahkamah membuktikan SPR melaksanakan tugas dengan telus dan mengikut peruntukan perundangan.
Surendran yang juga merupakan peguam berkata, hakim turut memutuskan bahawa SPR gagal menolak tuduhan melakukan pembahagian dan penyempadanan semula yang tidak adil yang dibangkitkan kerajaan Selangor.
“SPR dan pemimpin BN berulang kali menafikan terjadi pembahagian dan penyempadanan semula yang tidak adil, namun mereka gagal apabila diberi peluang di mahkamah menolak tuduhan itu,” katanya.
Justeru, Surendran menggesa SPR dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kepada rakyat berhubung ketelusan yang tidak menepati piawai serta tuduhan melakukan penyempadanan semula yang tidak adil.
Dalam pengguguran saman itu semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak empat alasan pengkajian semula yang difailkan kerajaan Selangor.
Hakim Azizul Azmi Adnan memutuskan beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan perkara itu.
Bagaimanapun, hakim menetapkan keputusan yang menghalang SPR daripada melakukan siasatan berhubung rungutan pengundi di Selangor.

