Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi tampil di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 dengan gimik terbarunya dengan menghentak patung pemimpin DAP, Datuk Zaid Ibrahim dengan tukul seberat 5 kilogram.

Jamal yang berbaju Melayu hijau dan bersamping songket hadir di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menyatakan ketidakpuasan hati beliau pada Zaid ekoran kemurkaaan sultan Selangor terhadap Zaid.

Malah, Jamal yang berwajah bengis memberi amaran untuk memburu Zaid sekiranya tidak ada sebarang tindakan oleh pihak berkuasa kepada bekas menteri undang-undang itu.

“Polis yang terhebat di Asia adalah polis Malaysia dan kalau saya keluarkan perkataan haram jadah ini sudah pasti sudah satu malam saya duduk dalam lokap.

“Tetapi hari ini kita sudah dengar kemurkaan sultan Selangor bahawa sultan telah murka.

Tetapi di mana polis? Kenapa tidak ambil tindakan lagi?" soal Jamal.

“Kenapa lambat, terhegeh-hegeh nak ambil tindakan terhadap binatang ini. Kami sudah tidak tahan, kami rakyat Selangor sudah hilang sabar kalau tidak ada tindakan lagi esok tukul ini akan singgah ke kepala dia,” katanya lagi.

Zaid sebelum ini berkongsi berita Malaysiakini dengan kapsyen berbunyi "Sultan Selangor perlu berhati-hati dengan titah-titah baginda, tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar".

Mana Azmin Ali

Zaid berkata demikian sebagai respon terhadap titah sultan yang menyatakan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad akan “membakar seluruh negara dengan api kemarahannya”.

Murka dengan kenyataan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar Zaid pulang ke negeri asalnya, Kelantan.

Mengulas lanjut, Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar berkata beliau juga sanggup mati demi mempertahankan sultan Selangor.

“Ini adalah amaran keras daripada kami. Kerana kami rakyat Selangor, anak Selangor tidak mahu sesekali sultan kami dihina dan dicaci.

“Saya rela mati demi sultan Selangor. Nyawa kami pertaruhkan demi sultan Selangor," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan berdepan tindakan undang-undang atas tindakannya memberi amaran kepada Zaid, Jamal berkata beliau bersedia menghadapi apa saja, termasuk dipenjarakan.

Katanya jika langkah itu tidak diambil beliau yakin perkara sama akan terus berulang.

“Saya pertaruhkan nyawa saya demi sultan Selangor," katanya.

Menurut Jamal Zaid juga tidak boleh dimaafkan, sebaliknya dikenakan tindakan dan hukuman.

“Hati kami rakyat Selangor sudah terguris, tindakan dan hukuman yang perlu diambil bukan maaf,” katanya.

Sementara itu, Jamal turut mempersoalkan sikap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang didakwanya berdiam diri berhubung isu berkenaan.

“Sepatutnya Azmin kena buka mulut. Mana Azmin Ali? Mana Azmin Ali?" soalnya.

Lihat Komen
ADS