Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Cari sampai lubang cacing - itu tuntutan dan desakan seorang perwakilan Umno buat pihak berkuasa supaya mereka menyiasat pemilik portal berita The Malaysian Insight (TMI).

Berucap semasa membahaskan usul pendidikan dan agama, wakil Pulau Pinang Mohd Nashrol Hisham Abdullah berkata TMI didakwanya giat menyerang kepimpinan Umno terutama presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak.

Memetik dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Nashrol berkata TMI dimiliki Puan Sri Faridah Begum K A Abdul Kader.

Untuk rekod Faridah Begum ialah kakak kepada Ketua Pengarang TMI, Jahabar Saddiq, juga isteri kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Kami perwakilan mahu pihak berwajib siasat siapa Faridah Begum ni.

"Malaysian Insight (TMI) yang menyerang pemimpin kita, perdana menteri kita, presiden kita.

"Pihak berwajib jangan biarkan ini berlaku. Cari sampai lubang cacing," katanya dengan penuh bersemangat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun Mohd Nashrol (gambar) tidak menyatakan dengan lebih lanjut kenyataan itu atau bagaimana TMI menyerang Najib dan Umno.

Umno mengadakan persidangan tahunannya mulai Khamis lalu dan bakal berakhir hari ini.

Semalam isu berkaitan TMI turut dibangkitkan. Perwakilan Johor, Haliza Abdullah, menceritakan bagaimana portal berita berkenaan - ketika itu dikenali sebagai The Malaysian Insider - disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Haliza juga menyebut beberapa portal lain termasuk Malaysiakini.

Daripada ucapan itu tidak dapat dipastikan sama ada dia menyarankan portal berita yang bersikap kritikal kepada pembangkang dikenakan tindakan oleh SKMM.

Mohd Nashrol berkata pihak berkuasa perlu bertindak dan jangan membiarkan TMI menghina pemimpin Umno.

Sementara itu Jahabar ketika dihubungi Malaysiakini enggan memberi sebarang komen. Portal ini turut cuba mendapatkan kenyataan daripada Apandi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS