Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'BN mampu buat kejutan rampas kerusi Sandakan'
Diterbitkan:  Dec 9, 2017 12:13 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Barisan Nasional (BN) dilihat berkemampuan membuat kejutan merampas semula kerusi Parlimen Sandakan daripada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bersandarkan peningkatan sokongan terhadap parti itu kebelakangan ini.

Berkongsi pandangannya dengan Bernama hari ini, Ketua Pemuda Umno Beluran Samad Jambri berkata peningkatan sokongan terhadap BN akan bertambah sekiranya parti itu meletakkan anak tempatan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"Ini memberi senario baharu dan menarik minat pengundi, sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

"Sekiranya ada calon yang sesuai, sudah pasti Umno dan BN akan dapat memenangi hati rakyat di kawasan Parlimen Sandakan," katanya yang ditemui di luar perhimpunan agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Beliau berkata walaupun Umno dan BN di kawasan itu mungkin berdepan parti tempatan baharu – Parti Warisan Sabah – pada PRU14 nanti, perkara tersebut tidak melemahkan jentera pilihan raya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya kerjasama dalam kalangan parti komponen BN juga perlu diperkukuh bagi menjamin visi dan misi menakluk kembali Parlimen Sandakan menjadi kenyataan.

"Janganlah ada sengketa dalam kalangan anggota Umno dan BN serta sesama parti komponen BN… kita perlu bersatu untuk meraih kemenangan," katanya.

Dalam pilihan raya lepas, Presiden Parti Liberal Demokratik ketika itu, Datuk Liew Vui Keong yang bertanding atas tiket BN, tewas kepada calon DAP Wong Tien Fatt dengan majoriti 1,088 undi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS