Ketika sebahagian aktivis reformasi mengubah sikap mereka seiring dengan peredaran waktu, cadangan menaikkan Tun Dr Mahathir Mohamad - yang menjadi punca gerakan reformasi lahir - sebagai perdana menteri tetap diragui.

Gerakan reformasi terbentuk ekoran tindakan Dr Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatannya dalam kerajaan dan parti pada 1998.

Kesan tindakan itu sebahagian rakyat bangkit untuk cuma menolak Dr Mahathir. Ia juga melahirkan parti yang kini dikenali sebagai PKR.

Kini kedua-dua tokoh yang berseteru itu disatukan pula dalam gerakan cuba mengetepikan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Malam tadi kebanyakan daripada kira-kira 100 aktivis reformasi yang hadir di majlis makan makan Tautan Kasih di Kuala Lumpur menegaskan, satu-satunya calon perdana menteri mereka ialah Anwar.

Beberapa kali laungan menyebut Anwar sebagai perdana menteri turut kedengaran di antara ucapan-ucapan yang disampaikan di majlis Otai Reformis itu.

Ditemui selepas makan malam itu P Ganapathy, 55, berkata dia tidak yakin Dr Mahathir sudah berubah dan bekas perdana menteri itu lebih sesuai dijadikan sekadar penasihat Pakatan Harapan (HARAPAN).

OK kalau buka jalan

Baginya pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu tidak wajar diberikan peranan eksekutif, walaupun untuk tempoh sementara.

"Dr Mahathir tidak akan berubah. Dia tidak memahami apa itu reformasi sama sekali.

"Reformasi ialah sesuatu yang sama sekali berbeza daripada apa yang dilakukannya (sebelum ini).

"Lebih baik beliau bersara dan hanya memberikan nasihat. Itu yang diperlukan oleh gerakan reformasi," kata aktivis March 2 Freedom kepada Malaysiakini.

Pemukiman HARAPAN minggu lalu didakwa mencadangkan Dr Mahathir menjadi perdana menteri jika pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri.

Namun tidak semua pihak menerima saranan itu dengan baik, termasuk di kalangan pemimpin pembangkang sendiri.

Difahamkan nama kedua-dua tokoh itu menjadi pilihan hanya untuk sementara kerana Anwar - yang selama ini menjadi calon perdana menteri pembangkang - masih dipenjara.

Selepas dibebaskan pun, undang-undang masih mengehadkan pembabitan beliau dalam politik selama lima tahun lagi.

Anggota Otai Reformis, S Puspalingam, pula berkata cadangan itu sangat ironi namun bersedia menerimanya jika ia membuka jalan kepada Anwar dilantik sebagai perdana menteri.

"Jika Anwar mahu orang itu (Dr Mahathir) supaya beliau boleh menjadi perdana menteri, saya sokong, sebab begitulah politik," katanya yang berusia 72 tahun.

Pemilik restoran Jalaluddin Abdul Manaf, 82, juga memberikan sokongan bersyarat kepada cadangan mengangkat Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Pak Amjal bagaimanapun menyatakan kebimbangannya.

"HARAPAN mesti menyatakan secara bertulis dia (Dr Mahathir) hanya perdana menteri sementara.

"Kalau begitu, OK, tapi jika sebaliknya, tak OK," katanya.

[Baca berita penuh]