Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tiada sebab jawatan presiden, timbalan perlu dicabar

PAU2017 | Keserasiaan gandingan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan faktor utama mengapa kedua-dua jawatan tertinggi Umno diusulkan tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata perkara itu turut diakui oleh ketiga-tiga sayap parti terbabit iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

Ditanya mengenai keputusan mesyuarat agung parti itu semalam menerima usul supaya jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan adalah langkah menyelamatkan Najib, Salleh berkata isu terbabit tidak timbul.

"Seperti kita semua sedia maklum, usul itu dibentangkan oleh Pemuda Umno.

“Mengambil kira daripada resolusi itu banyak bahagian ingin melihat agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, kerana kedua-dua pemimpin ini (Najib dan Ahmad Zahid) boleh berganding bahu untuk menentukan kekuatan parti.

"Tidak ada sebab kenapa kita nak (jawatan itu) dipertandingkan,” kata Salleh kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Salleh (gambar) berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ada pihak melihat langkah Umno tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya dalam pemilihan parti selepas ini sebagai satu usaha untuk menyelamatkan kedudukan Najib.

Najib berdepan satu daripada cabaran paling getir apabila dua tokoh yang menjadi penyokong kuatnya selama ini, bertukar haluan menjadi pencabar pula.

Tun Dr Mahathir Mohamad adalah orang yang pernah mendesak Umno menaikkan Najib sebagai menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri.

Selepas menjadi perdana menteri Najib melantik bekas menteri besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya.

Kemunculan isu 1MDB membuat kedua-dua mereka berseteru dengan Najib, menyebabkan Dr Mahathir meninggalkan Umno, manakala Muhyiddin dipecat.

Boleh tanding jawatan lain

Dr Mahathir dan Muhyiddin - bersama bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir - kemudian menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dilihat menjadi berpotensi menarik sokongan anggota Umno.

Penggal kerajaan hari ini akan tamat pada Jun tahun depan dan pilihan raya umum biasanya diadakan lebih awal.

Berbanding kebanyakan negara lain, tarikh pilihan raya umum di Malaysia tidak didedahkan lebih awal bagi membolehkan semua parti membuat persediaan, sebaliknya diumumkan pada saat-saat akhir.

Ahmad Zahid sebelum ini dilantik Umno menjadi naib presiden bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Selepas kedudukan timbalan perdana menteri dikosongkan Najib melantik Ahmad Zahid menjadi timbalan perdana menteri.

Kedudukan Mohd Shafie - yang turut meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Warisan Sabah (WARISAN) setakat ini masih dibiarkan kosong.

Mengulas lanjut Salleh berkata bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berwawasan, Najib memerlukan timbalan yang setia serta seorang sahabat yang dapat membantu beliau.

“Najib pemimpin negara yang berwawasan, yang ingin membawa Malaysia ke arah yang lebih gemilang lagi dan dia memerlukan seorang timbalan yang setia, seorang sahabat yang boleh membantu menentukan agar matlamat ini tercapai,” katanya.

Bagaimanapun Salleh yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno menegaskan langkah itu tak bermaksud parti itu menutup hak mana-mana pihak yang ingin bertanding.

“Ahli Umno boleh bertanding untuk jawatan-jawatan lain tapi bagi jawatan presiden dan timbalan presiden kita harus menentukan kestabilan parti.

"Apabila parti stabil dari segi kepimpinannya ini akan menjamin kestabilan politik negara,” katanya.

Pemilihan Umno sepatutnya diadakan pada 2016 namun ia ditangguhkan ke 2018 bagi membolehkan parti itu menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Lihat Komen
ADS