Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar mendesak DAP agar memecat Datuk Zaid Ibrahim, jika parti itu benar-benar tiada kena-mengena dengan kritikan bekas menteri itu terhadap Sultan Selangor.

"Jika benar-benar (kenyataan) Zaid tiada kena-mengena dengan mereka, kita cabar DAP pecat Zaid," katanya ketika berucap dalam himpunan solidari 'Daulat Tuanku' di Shah Alam, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua Jumaat lalu yang parti itu tidak akan mengambil sebarang pendirian berhubung kenyataan Zaid terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Zaid perlu menghadapi sendiri kesan daripada tindakan itu.

Seramai beberapa ratus penyokong yang hadir pada perhimpunan anjuran BN Selangor itu, yang bertujuan menyatakan sokongan terhadap Sultan Selangor dan mengecam Zaid yang disifatkan mereka sebagai pengkhianat dan 'kuda tunggangan DAP'.

Untuk rekod, Zaid menyertai DAP Februari lalu, namun tidak memegang apa-apa jawatan rasmi dalam parti itu.

Zaid sebelum ini mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter berhubung kritikan Sultan Selangor terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa bekas perdana menteri itu akan "membakar seluruh negara dengan kemarahannya".

"Sultan Selangor harus berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada siapa kebal apabila negara terbakar. Apabila ada Raja-raja yang bermain politik, mereka perlu tahu kesannya," katanya di Twitter, yang mencetuskan kecaman beberapa pihak.

Sultan Sharafuddin sendiri bertitah yang Zaid boleh kembali ke negeri asalnya iaitu Kelantan jika tidak bersetuju dengan baginda.

Dalam pada itu, Noh yang juga pengerusi BN Selangor menggesa kerajaan negeri menggunakan kuasanya untuk melarang Zaid serta Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) daripada berucap secara terbuka di negeri itu.

Beliau berkata, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga kini hanya membisu berhubung tindakan Zaid dan Mahathir yang menurutnya telah menghina Sultan.

"Sepatutnya bukan kita yang menganjurkan perhimpunan ini, (tetapi) kerajaan negeri.

"Kita lihat bagaimana Mahathir menghina masyarakat Bugis (menyebabkan) Sultan murka. Sebagai menteri besar, beliau kena prihatin dengan perasaan Sultan Selangor," katanya.

Gesaan Noh itu termasuk dalam deklarasi empat perkara yang dibacanya pada perhimpunan itu.
 

Lihat Komen
ADS