Sebarang percubaan oleh Umno atau kerajaan menyekat media akan gagal, kata budayawan Indonesia hari ini.

Goenawan Mohamad yang juga merupakan editor berpengalaman yang menjadi pengasas majalah Tempo berkata, mustahil untuk perkara itu dilakukan dan sebarang percubaan hanya membazir masa.

“Pengalaman di mana-mana, censorship (penapisan) tidak punya daya yang bertahan, akan gagal pada akhirnya.

“Jadi sia-sia saja kalau parlimen (kerajaan) atau Umno merancang (untuk tapis). Sebelum sesal dulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna, jangan dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas kuliah di Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara yang dianjurkan kerajaan Selangor di Shah Alam.

Goenawan berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung gesaan yang dibuat perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini agar pihak berkuasa menyiasat pemilik portal berita atas talian The Malaysian Insight (TMI) kerana didakwa menghina kepimpinan Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Goenawan yang kini dalam lingkungan umur 70an merupakan antara watak utama dalam perjuangan kebebasan media di Indonesia.

Kolumnis Catatan Pinggir itu menerajui Tempo melalui dua kali penggantungan dalam tempoh 12 tahun antara 1982 dan 1994 ketika di bawah regim era Order Baru Soeharto.

Kumpulan wartawan yang menyokong kebebasan media disekat dari menubuhkan Aliansi Jurnalis Independen, persatuan wartawan yang membantah sekatan dan campur tangan kerajaan ke atas media dan pengamal media.

Tempo menyepi selama empat tahun selepas penggantungan kali keduanya dihapuskan dan hanya kembali beroperasi pada 1998 ekoran kejatuhan Suharto, yang menandakan perubahan besar dalam undang-undang media Indonesia.

Memetik dokumen dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), perwakilan Pulau Pinang Mohd Nashrol Hisham Abdullah semalam mendakwa TMI dimiliki seseorang bernama Faridah Begum dan menggesa pihak berkuasa menyiasat beliau.

Faridah merupakan kakak kepada ketua editor TMI Jahabar Saddiq dan isteri kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Semalam, perwakilan Johor Haliza Abdullah mengaitkan The Malaysian Insider yang digantikan dengan TMI, telah ditutup oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain turut menyebut portal berita lain termasuk Malaysiakini.

Bagaimanapun, Haliza tidak menyatakan dengan jelas sama ada beliau mencadangkan SKMM mengambil tindakan sama terhadap portal yang disebutkannya.

[Baca berita penuh]