Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal dukacita Zaid belum diambil tindakan
Diterbitkan:  Dec 11, 2017 2:38 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Selepas pitam kerana sakit belakang dan bermalam di atas lantai simen ketika ditahan reman, Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dibebaskan daripada tahanan reman polis.

Namun pembebasan Jamal itu disambut dengan kekecewaannya apabila mendapat tahu bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim tidak dikenakan apa-apa tindakan.

"Inilah perkara mendukacitakan saya. Saya pun tak tahu apa yang patut dilakukan lagi,” kata Jamal di Facebook.

Jamal dibebaskan polis selepas direman dua hari mulai Sabtu lalu selepas mengugut mahu memukul Zaid dengan tukul susulan kenyataan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Gerakan Baju Merah itu dibebaskan kira-kira jam 1.30 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Jamal yang baju Melayu biru kemudian mengadakan sidang media dalam hujan renyai-renyai tidak jauh dari situ.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharudin Abdullah berkata Jamal disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

Tunggu punya tunggu

Seksyen 504 berkait dengan penghinaan dengan niat untuk mengganggu keamanan, manakala Seksyen 14 berhubung tingkah laku menghina.

Sementara itu Jamal melalui pesanan suaranya kepada pihak media menceritakan pengalamannya menghabiskan masa dalam lokap.

Kata Jamal dia sudah meminta supaya diberikan tilam ketika dibawa ke depan majistret, namun permohonan itu tidak dilayan.

“Saya dah maklumkan kepada pegawai penyiasat, saya ada masalah sakit belakang, urat belikat bengkak.

"Ketika ditahan saya minta kebenaran melalui peguam untuk dapatkan tilam.

“Tunggu punya tunggu, tak dapat tilam dan akhirnya saya terpaksa tidur di atas simen, akibatnya bahagian belakang saya bengkak," katanya.

Pagi tadi kata Jamal dia pitam seketika dan polis mahu membawanya ke hospital.

Namun disebabkan tempoh reman berakhir, kata Jamal, dia memilih pergi sendiri mendapatkan rawatan.

"Sekarang saya nak ke Hospital Ampang Puteri, nak dapatkan rawatan di sana,” kata Jamal.

Jumaat lalu, Jamal membuat ancaman terhadap Zaid ekoran kenyataan yang dibuatnya terhadap Sultan Sharafuddin.

Bertempat di perkarangan PWTC, Jamal yang lengkap berbaju Melayu hijau dan bersamping songket bersama sekumpulan penyokong membawa beberapa keratan patung Zaid, lalu memukulnya dengan tukul besi.

Beliau juga mengancam "memburu" Zaid jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap beka menteri di jabatan perdana menteri itu, serta sanggup berhadapan apa-apa kemungkinan daripada tindakannya.

Ia berikutan kenyataan Zaid terhadap Sultan Selangor yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang "sanggup membakar negara dengan kemarahannya".

Zaid menerusi Twitter kemudian berkata, Sultan Selangor harus lebih berhati-hati dengan kata-katanya dan terdapat kesan jika "raja-raja bermain politik".

Lihat Komen
ADS