Industri percetakan mampu jadi pusat aktiviti serantau
Industri percetakan dan penerbitan negara perlu membuat inovasi bagi meningkatkan mutu keluaran ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat aktiviti percetakan serantau.
"Ini termasuk menjadikan negara ini sebagai pusat percetakan untuk penerbitan majalah dan buku bagi pasaran antarabangsa," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Teknologi Percetakan dan Melabel 2001 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Katanya, sebahagian besar syarikat percetakan di negara ini masih beroperasi dalam bentuk syarikat berskala kecil dan mereka perlu melakukan perubahan dan inovasi secara komprehensif sesuai dengan kehendak semasa.
Ini membabitkan meningkatkan kepakaran teknikal sumber manusia bagi menjamin mutu bahan cetak dengan kos yang kompetitif untuk bersaing di pasaran global.
"Selain penggunaan teknologi moden, pencetak dan penerbit perlu mengambil berat tentang perkara berkaitan bahasa, kecekapan perkhidmatan dan keperluan pelanggan mereka," katanya.
Menurut beliau industri percetakan dan penerbitan turut menyumbang kepada hasil eksport negara.
"Antara 1990 hingga Jun tahun ini, sebanyak 109 projek berkaitan dengan percetakan dan penerbitan telah diluluskan oleh kementerian dengan jumlah pelaburan lebih RM2 billion," tambah Rafidah
Beliau turut memberitahu bahawa lebih 2,300 syarikat percetakan yang sudah berdaftar di seluruh negara.
Nilai eksport
Beliau menambah, 77.1 peratus atau RM1.6 bilion daripada jumlah pelaburan datangnya dari dalam negara dan selebihnya atau RM477 juta adalah pelaburan asing.
"Dua puluh projek pelaburan asing itu membabitkan sebahagian besar pelabur dari Singapura, lima dari Jepun, dua Jerman dan satu Finland."
Menurut Rafidah lagi, pertambahan eksport bahan bercetak di negara ini pada tahun lalu meningkat 11 peratus berbanding 1999.
"Pada 1999 nilai eksport bahan bercetak negara adalah RM317 juta manakala tahun lalu pula ialah RM351.79 juta," katanya.
Beliau juga menjelaskan antara Januari hingga April tahun ini nilai eksport bahan bercetak negara ini adalah RM103.19 juta.
Antara negara yang menjadi pengeksport utama bahan cetak ialah Singapura dengan 40 peratus, Amerika Syarikat (14 peratus), United Kingdom (8.6 peratus), Australia (4.2 peratus) dan Hong Kong (4.1 peratus).

