Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
MB: Patuhi titah Sultan Selangor henti main isu sensitif
Diterbitkan:  Dec 11, 2017 6:42 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar semua pihak berhenti bermain dengan "isu sensitif" sangat tepat pada masanya, kata menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Di tengah-tengah kontroversi antara istana Selangor dan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad, Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata semua pihak perlu mematuhi nasihat itu demi mengekalkan keharmonian negeri itu.

"Pedoman Tuanku agar jangan ada mana-mana pihak memainkan isu-isu sensitif adalah amat tepat pada masanya, perlu dijunjung dan didakap oleh semua pihak," katanya dalam ucapan pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Sharafuddin yang ke-72, hari ini.

Dalam ucapannya, Azmin mengimbas kembali sejarah kesultanan Selangor dan berkata rakyat perlu dimaklumkan tentang kepentingan peranan institusi Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau membaca petikan artikel yang ditulis bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas bertajuk "The Traditional Elements of the Malaysian Constitution".

Artikel itu antara lain memperkatakan tentang bagaimana perlembagaan mengekalkan jati diri kerajaan dan orang Melayu iaitu kesultanan, agama Islam, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

"Kesultanan diletakkan sebagai aspek paling penting kerana institusi Raja-Raja Melayu adalah pencipta ‘Kerajaan’ di mana kosa katanya, datang dari perkataan ‘raja’.

"Dalam sejarah Nusantara, bangunnya tamadun dan wujudnya undang-undang adalah dengan adanya raja," katanya.

Beliau turut memetik pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman yang menurutnya memastikan kesinambungan institusi Raja-raja Melayu selepas kemerdekaan.

Dalam menyatakan kesetiaan terhadap Sultan, Azmin berkata rakyat mengharapkan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai "pengimbang muktamad" yang mampu melindungi mereka daripada "kekebalan eksekutif" kerajaan yang mentadbir negara.

"Rakyat tidak boleh menerima kekebalan berpindah kepada pihak eksekutif kerana kekebalan eksekutif adalah penodaan terhadap perlembagaan.

"Kekebalan eksekutif adalah pencabulan terhadap kata-kata dan semangat perlembagaan," katanya sambil menggesa Majlis Raja-Raja memainkan peranan untuk melindungi rakyat daripada kerajaan yang didakwanya kebal daripada tindakan.

Ucapan Azmin ini di sebalik gesaan terhadap beliau agar menyatakan pandangan dalam kontroversi melibatkan Sultan Selangor dengan Mahathir dan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Antara yang membuat gesaan itu adalah Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar dalam satu perhimpunan semalam.

Pada bulan lalu, Mahathir mencetuskan kemarahan Sultan Sahrafuddin selepas mengeluarkan kenyataan mengaitkan masyarakat Bugis dengan lanun, serta memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk "Balik Bugis".

Walaupun Mahathir menjelaskan kenyataan itu hanya ditujukan kepada Najib, Sultan Sharafuddin yang turut mempunyai keturunan Bugis menyifatkannya sebagai penghinaan kepada masyarakat itu.

Zaid pula mencetuskan kemarahan baginda selepas mengingatkan institusi diraja agar tidak terlibat dalam politik kepartian.
 

Lihat Komen
ADS