Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Hasmah pulang pingat tanda setia pada suami
Diterbitkan:  Dec 12, 2017 10:46 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berkata beliau tidak dipaksa atau dipengaruhi sesiapa dalam tindakannya menyerahkan semula pingat kebesaran dikurniakan sultan Selangor.

Dalam kenyataan diberikannya hari ini Dr Siti Hasmah berkata langkah memulangkan darjah kebesaran diterimanya daripada istana Selangor dibuat secara sukarela.

"Saya fikir kalau suami saya terasa begitu (mahu memulangkan semula pingat kebesaran yang diterimanya), saya sebagai isteri patut bersimpati kepadanya dan menyokong hasratnya," kata Dr Siti Hasmah.

Kenyataan itu dimuat naik dalam akaun Facebook suami beliau Tun Dr Mahathir Mohamad pagi ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan pasangan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah menyerahkan semula pingat kebesaran yang diterima daripada sultan Selangor.

Istana terima tanpa halangan

Pingat terbabit diserahkan kepada pegawai kanan istana pada 7 Dis lalu.

Kata Dr Siti Hasmah beliau sendiri adalah anak Selangor dan rasa dihargai apabila menerima anugerah pingat kebesaran berkenaan.

"Tetapi disebabkan apa yang berlaku baru-baru ini, saya rasa saya perlu bantu (sokong) hasrat suami saya dengan memulangkan darjah-darjah kebesaran kurniaan tuanku sultan Selangor," katanya.

Dr Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama pada 22 Jun 1978.

Ia adalah anugerah yang hanya diberikan kepada dua individu pada sesuatu masa.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu juga menerima Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum melepaskan jawatan secara rasmi sebagai perdana menteri pada Okt 2003.

Dr Siti Hasmah pula memulangkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor.

Beliau dianugerahkan pingat kebesaran berkenaan daripada sultan Selangor pada 1983 dan 1994.

Hari ini pihak istana Selangor menyatakan Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pemulangan berkenaan tanpa sebarang halangan.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais berkata pewartaan pembatalan kurniaan darjah-darjah dan bintang-bintang kebesaran tersebut akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan.

Dalam temu bual ringkas itu Dr Siti Hasmah ditanya sama ada tindakan beliau menyerahkan semula pingat kebesaran Selangor itu dipaksa atau dipengaruhi suaminya.

Pemulangan pingat itu dibuat beberapa hari selepas akhbar The Star menyiarkan laporan temu bual mereka dengan Sultan Sharafuddin.

Dalam temu bual itu baginda turut memberi pandangan terhadap Dr Mahathir.

Lihat Komen
ADS