Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan bersungut durian mahal, gurau duta China
Diterbitkan:  Dec 12, 2017 1:52 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Raja buah durian menjadi isu baru-baru ini selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau bertanggungjawab atas eksport durian ke China.

Hal ini menyebabkan pengkritik menuduh beliau punca harga durian melonjak di Malaysia.

Bercakap dalam suatu majlis jamuan makan malam, Duta Besar China ke Malaysia yang baru, Bai Tian menyebabkan hadirin tertawa apabila beliau bergurau rakyat Malaysia tidak patut bersungut berkenaan harga durian yang mahal.

Beliau berkata rakyat Malaysia malahan perlu melihat isu ini daripada segi positif dan berusaha bagi meningkatkan penanaman durian yang bermutu tinggi bagi tujuan eksport bagi mengembangkan ekonomi.

Menurut Oriental Daily News, Bai berkata China sedang berkira-kira untuk menambahkan import produk Malaysia seperti minyak sawit, sarang burung dan durian yang disejukbekukan.

Mahu import durian segar

Beliau berkata terdapat juga perbincangan kemungkinan mengimport durian segar, termasuklah jenis 'Musang King' yang hanya tersedia dalam bentuk sejuk beku di China.

Bai menambah setakat ini, China mengimport durian segar dari Thailand.

Majlis makan malam itu anjuran persatuan-persatuan Cina Malaysia.

Bulan lalu, Najib berkongsi kisah durian pada sidang pemimpin Asia-Pacific Economic Cooperation (Apec) di Vietnam yang mengundang tawa dan tepukan hadirin.

"Durian seperti kaviar buat kami. Rasanya sungguh sedap, tapi baunya tak digemari," kata beliau.

Najib berkata durian pernah dijual RM4-RM5 sekilo tetapi melonjak naik harganya dengan para pembeli di China yang sanggup membayar sehingga RM130 sekilogram.

China sangat sukakan durian lebih lagi dari negara lain, kata perdana menteri lagi.

 

Lihat Komen
ADS