Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menafikan wujudnya rancangan untuk mencalonkan Datuk Zaid Ibrahim di kerusi undangan negeri, apatah lagi menjadikannya sebagai menteri besar jika Selangor kekal milik Pakatan Harapan pada dalam pilihan raya akan datang.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang berkata beliau menerima maklumat itu daripada "ahli DAP Melayu".

"Jelas sekali, orang dalaman Jamal bukan saya atau exco kerajaan negeri Selangor kerana namanya (Zaid) tidak pernah dicadangkan atau dibincangkan sebagai calon wakil rakyat, apatah lagi sebagai menteri besar," katanya kepada Malaysiakini.

Pua, yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, berkata Jamal perlu merembat "orang dalaman" yang memberi maklumat palsu kepadanya.

"Jamal harus rembat 'orang dalaman' itu kerana adalah jelas dia menjualnya berita palsu," katanya.

Terdahulu hari ini, pemimpin Umno itu mendakwa bahawa DAP sekarang “tidak berapa sebulu” dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ingin menggantikannya dengan Zaid.

Jamal mendakwa bahawa DAP yakin bahawa parti itu akan meraih sebahagian besar kerusi negeri jika Pakatan Harapan mengekalkan Selangor pada pilihan raya akan datang.

“Mereka akan menuntut wakil rakyat daripada DAP menjadi menteri besar. Jadi calon daripada DAP adalah Zaid menjadi menteri besar setelah PRU-14.

“Jadi inilah kebimbangan bagaimana seorang yang begitu biadap dan kurang ajar terhadap sultan Selangor ingin dijadikan sebagai menteri besar setelah PRU-14?” soalnya.

Minggu lalu, Zaid menimbulkan kemurkaan pihak istana Selangor melalui tweetnya mengenai kenyataan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bahkan memberitahu anggota DAP itu supaya kembali ke negeri asalnya di Kelantan jika tidak bersetuju dengan pandangannya.

Polis dijadual merakamkan kenyataan daripada Zaid, yang sedang disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung tweetnya, esok.

[Baca berita penuh]