Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terkejut mendengar berita kononnya seorang ketua pengarah jabatan kerajaan diraikan persaraannya dengan perbelanjaan sebanyak RM5 juta.

"Hah? Lima juta ringgit? Untuk meraikan persaraannya! Saya tak dengar...Saya sangat terkejut!... Saya harap itu bukan duit jabatan...lebih banyak dari persaraan Dr Mahathir (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad)!" demikian reaksi spontan Perdana Menteri pada Khamis, apabila diberitahu tentang laporan akhbar mengenai dakwaan pembaziran itu.

"Tidak wajar langsung wang sebanyak lima juta (ringgit) dibelanjakan untuk persaraan. Saya ingat masa Dr Mahathir bersara pun tak banyak duit kita belanja.

"Lepas pada itu, wang itu datang daripada orang lain," katanya di persidangan akhbar untuk wartawan Malaysia di New York yang membuat liputan sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ditanya kalau situasi itu boleh diterima sekiranya wang itu adalah daripada pihak individu, Perdana Menteri berkata, beliau begitu hairan mengapa orang mahu membelanjakan sebegitu banyak wang.

Terperanjat

"Tetapi saya tak mahu membuat sebarang tuduhan. Saya sangat, sangat terkejut sebegitu banyak wang dibelanjakan. Harap bukan duit jabatan," katanya.

Apabila ditanya apakah contoh yang baik untuk meraikan persaraan, Abdullah berkata: "Selalunya persaraan adalah tanda ucap terima kasih, memberi penghormatan dan pujian kepada seorang yang lama berjasa kepada jabatan kerajaan. (Oleh itu) kita bagilah sedikit hadiah kenang-kenangan yang berpatutan."

"Kalaupun diraikan di peringkat negeri, takkanlah sampai lima juta," katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama..

Rabu lalu, Akhbar New Straits Times memetik sumber sebagai berkata ketua pengarah berkenaan yang akan bersara bulan depan membuat lawatan ke negeri-negeri dengan majlis meraikannya diadakan secara mewah.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman semalam mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Ismail Adam menyiasat dakwaan itu.