Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saiful: Mahathir ketepi keadilan demi politik
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 12:20 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan menyatakan kekesalannya dengan gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad agar Ketua Umum PKR itu dibebaskan daripada penjara.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Saiful menyifatkan Mahathir mempolitikkan kes jenayah yang telah diputuskan di mahkamah demi kepentingan politik.

"Sebagai bekas perdana menteri, beliau sepatutnya lebih tahu. Sayalah mangsa sebenar tindakan jenayah Anwar Ibrahim.

"Kuasa dan cita-cita telah membutakannya daripada fakta kes jenayah," kata Saiful.

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan atas kesalahan meliwat Saiful.

Anwar dan pembangkang konsisten menyifatkannya sebagai hukuman bermotif politik.

Dalam kenyataan bersama peguam hak asasi Amerika Syarikat Kimberley Motley semalam, Mahathir menyifatkan bekas musuh politiknya itu sebagai 'banduan hati nurani' yang kini berhadapan masalah kesihatan.

"Anwar adalah tahanan politik dan telah menanggung hukuman penjara lebih daripada 34 bulan. Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan kami dengan serius dan demi keadilan dan hubungan antarabangsa Malaysia," kata kenyataan bersama itu.

Saiful menyifatkan Mahathir dengan mudah mengenepikan prinsip dan maksud keadilan demi matlamat politik.

"(Walhal) Pada 2014, beliau menyatakan simpati terhadap saya sebagai mangsa ketika saya melawatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana bersama isteri dan anak saya," dakwanya.

"Hilang akal jika percaya Dr M'

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Puad Zarkashi (gambar) menyifatkan tindakan Mahathir itu ekoran sudah kehabisan modal untuk menyerang BN di saat pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

"Lagi pun Anwar hanya tinggal beberapa bulan sebelum bebas. Kenapa di peringkat awal dulu dia tidak memperjuangkan pembebasan Anwar?

"Anwar dan penyokongnya hilang akal jika percaya Mahathir ikhlas dan serius mahu Anwar dibebaskan," katanya yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno itu.

Anwar dijangka dibebaskan pada pertengahan tahun depan atas dasar berkelakuan baik.

Lihat Komen
ADS