Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis Lena Hendry, pendakwa tarik balik rayuan

Aktivis Lena Hendry dan timbalan pendakwa raya masing-masing menarik balik rayuan berhubung sabitan bersalah terhadap wanita itu kerana menayangkan sebuah dokumentari pada 2013 tanpa mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia.

Hendry disabitkan bersalah pada 21 Februari tahun ini di bawah Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002 oleh Mahkamah Majistret.

Dia kemudian didenda RM10,000 dan diarahkan menjalani hukuman setahun penjara.

Hari ini kes itu disingkirkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Sofian Abdul Razak.

Peguam New Sin Yew yang mewakili Hendry berkata beliau telah menghantar surat kepada Jabatan Peguam Negara dua minggu lalu untuk menarik balik rayuan dengan syarat pihak pendakwa melakukan perkara sama.

"Pihak pendakwa bersetuju untuk menggugurkan rayuan mereka setelah mengkaji keseluruhan kes itu. Ini sepatutnya berakhir," katanya kepada Malaysiakini.

New sebelum ini memfailkan rayuan untuk mengurangkan hukuman Hendry dan membatalkan sabitan, sementara DPP Zalina Awang merayu supaya hukuman dinaikkan.

Hendry, bekas pengurus program bagi NGO Komas, kemudian mengeluarkan kenyataan di laman Facebook NGO itu menjelaskan bahawa dia telah menarik balik rayuannya untuk menumpukan pada "perjuangan yang lebih besar".

Dia tidak hadir di mahkamah hari ini kerana melanjutkan pengajian di peringkat Masters di United Kingdom.

Hendry dituduh menayangkan dokumentari mengenai perang saudara di Sri Lanka bertajuk "No Fire Zone" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 2013.

Kumpulan hak asasi manusia di dalam dan luar negara mengutuk pertuduhan itu yang didakwa bermotifkan politik dan melanggar kebebasan sivil.

Hendry dibebaskan oleh mahkamah majistret pada 10 Mac 2016, namun pihak pendakwaan membuat rayuan yang mengakibatkan sabitan bersalah terhadapnya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS