MT dijangka bincang rayuan Isa 11 Oktober ini
Majlis Tertinggi Umno dijangka membincangkan pada 11 Oktober ini keputusan Panel Rayuan mengenai kes rayuan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dikenakan tindakan disiplin kerana kesalahan rasuah politik.
Majlis Tertinggi Umno dijangka membincangkan pada 11 Oktober ini keputusan Panel Rayuan mengenai kes rayuan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dikenakan tindakan disiplin kerana kesalahan rasuah politik.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagaimanapun berkata perbincangan itu bergantung sama ada panel itu dapat mengemukakan keputusannya sebelum mesyuarat MT.
"Mudah-mudahan kita akan dapat keputusan itu sebelum tarikh itu (11 Oktober)," katanya kepada Bernama.
Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa mesyuarat MT pada 25 Ogos lalu akan membincangkan kes rayuan Mohd Isa dan lapan lagi ahli Umno yang dikenakan tindakan disiplin tetapi, MT yang bermesyuarat selama enam jam pada ketika itu, tidak membincangkan kes-kes berkenaan.
Mohd Radzi berkata Panel Rayuan mengambil masa agak lama untuk mengemukakan keputusannya berhubung kes berkenaan bagi memastikan ia diteliti secara terperinci dan menyeluruh.
Ditanya sama ada panel itu telah bersedia dengan cadangan untuk dikemukakan kepada MT, beliau berkata: "Saya tak tahu. Saya tidak diberitahu."
Mengikut prosedur, Panel Rayuan akan mengemukakan keputusan kes kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno sebelum dibentangkan kepada MT untuk membuat keputusan muktamad.
Rombakan kabinet
Mohd Isa digantung keahlian enam tahun pada 27 Jun lalu kerana rasuah politik menjelang pemilihan agung Umno tahun lalu. Pada pemilihan itu, beliau menang jawatan naib presiden dengan undi terbanyak.
Mohd Isa, yang dilucutkan jawatan naib presiden, mengemukakan rayuan pada 6 Julai lalu.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau "belum ada ilham" untuk merombak kabinet.
"Sekarang saya tahu apa maksud (Tun) Dr. Mahathir (bekas Perdana Menteri) bila dia kata belum ada ilham," kata Abdullah kepada pemberita di sini Jumaat setelah ditanya tentang kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Lim Keng Yaik di Kuala Lumpur kelmarin yang menyentuh mengenai rombakan kabinet.
"Itu soal dia. Rombakan kabinet soal saya!" kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar di akhir lawatan lima harinya ke sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Dunia 2005 diadakan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-60.
Temui isteri
Ditanya lagi tentang spekulasi hebat mengenai isu itu, beliau berkata: "No comment!" (Tak ada komen!).
Ketika di New York, Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dua-hala dengan beberapa pemimpin termasuk Tony Blair, Perdana Menteri Britain; Jen. Pervez Musharaf, Presiden Pakistan; Gloria Macapagal Arroyo, Presiden Filipina; dan Jalal al-Talabani, Presiden Iraq; serta Mahmood Ahmadinejad, Presiden Iran.
Selasa lalu, beliau melancarkan "Global Roadshow" untuk menarik pengurus dana New York ke Malaysia.
Perdana Menteri berlepas ke Los Angeles pada sebelah petang untuk menemui isterinya, Datin Seri Endon Mahmood, yang kini sedang menerima rawatan untuk penyakit barah.
Pada hari Isnin, Abdullah akan ke San Francisco untuk seminar bioteknologi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.