Pemuda BERSATU adukan Jamal ke polis
Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad serta isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Ketua Biro Pendidikan Pemuda BERSATU Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata kenyataan dibuat Jamal mengenai tindakan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah memulangkan pingat kebesaran istana Selangor itu berniat jahat.
"Tindakan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah jelas tidak bercanggah dengan hak kebebasan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Laporan itu dibuat Ashraf Mustaqim di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.
Katanya kenyataan dibuat Jamal bersifat menghasut serta cuba melaga-lagakan pihak istana dengan pasangan suami isteri terbabit.
"Kenyataan dan tindakan tidak bertanggungjawab Jamal membuka ruang kepada pertelingkahan sia-sia sesama rakyat dan mengganggu gugat keamanan negara, khususnya di Selangor," katanya.
Semalam Jamal berkata tindakan Dr Mahathir memulangkan pingatnya itu adalah tanda "bantahan" terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Apabila menerima teguran daripada sultan Selangor, beliau cuba memperlekehkan atau buat protes dengan memulangkan pingat kebesaran.
“Mereka ini tidak mematuhi peradaban yang kita dari kecil lagi diajar tentang Rukun Negara,” katanya merujuk kepada rukun kedua iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”.
Jamal juga mencadangkan supaya pengerusi BERSATU itu kembali bersekolah mempelajari Rukun Negara, dan bukannya menjelajah ke seluruh negara bercakap mengenai politik.
“Mungkin (Mahathir) dah lupa, mungkin terlalu tua, ketiga-tiga mereka ini pun dah terlalu tua dan terlupa erti Rukun Negara,” katanya di luar Balai Polis Daerah Dang Wangi
Kata Ashraf Mustaqim polis diminta bertindak ke atas Jamal mengikut beberapa peruntukan undang-undang negara, termasuk kerana cuba mengaibkan, mendatangkan khianat awam dan menimbulkan kegusaran orang ramai.

