Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlis tidak dalam radar pelabur kerana kurang prasarana - MB
Diterbitkan:  Dec 15, 2017 6:41 AM
Dikemaskini: 10:44 PM

Kekurangan prasarana menyebabkan negeri Perlis tidak berada dalam radar pelabur, sekali gus menyebabkan sektor pembuatan tidak dapat berkembang secara positif, demikian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu semalam.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata kerajaan negeri menyedari bahawa antara perkara utama yang menjadi pertimbangan sesebuah syarikat untuk melabur di sesuatu lokasi adalah ketersediaan infrastruktur.

"Oleh sebab itu kerajaan negeri sedang meningkatkan penyediaan infrastruktur dan salah satunya adalah pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Padang Besar.

"Kita berharap agar dengan penyediaan prasarana ini, ia akan menjadi tarikan kepada pelabur dan berharap sumbangan sektor pembuatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan bertambah," katanya pada sesi penggulungan Bajet Perlis 2018 pada persidangan itu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata untuk melengkapkan sesuatu infrastruktur, prosesnya memerlukan tempoh yang panjang.

"Dalam perancangan kita untuk CVIA, berdasarkan pelan induk yang disediakan, ia ambil masa 10 tahun untuk dilengkapkan (dengan prasarana), tapi kita akan pastikan ia dapat disediakan sebaiknya untuk memastikan sektor pembuatan akan menjadi lebih rancak," kata Azlan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu cadangan untuk menaik taraf laluan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) dari Padang Besar ke Bukit Kayu Hitam sejauh 28km kini berada dalam perhatian kerajaan pusat.

Beliau berkata cadangan menaik taraf jalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand itu juga akan menyokong kewujudan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Chuping dan Padang Besar.

"Dengan menggunakan laluan itu ia akan dapat menjimatkan masa perjalanan kenderaan perdagangan dari Bukit Kayu Hitam ke Padang Besar," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS