Khutbah: Baitulmaqdis, kami bersamamu
Susulan perkembangan terbaru di Palestin minggu lalu, mimbar Jumaat hari ini menggesa agar seluruh umat Islam berganding bahu dalam menyelamatkan Baitulmaqdis yang kini diikitiraf Amerika Syarikat sebagai ibu negara Israel.
Mimbar berkata, umat Islam tidak semestinya perlu mengangkat senjata dalam perjuangan menyokong Palestin, sebaliknya boleh ditunjukkan melalui pelbagai cara lain.
"Berjuang mempertahankan Palestin bukan semata-mata dengan mengangkat senjata. Antara yang paling utama, doa perlu dipanjatkan kepada Tuhan yang menguasai alam.
"Ia usaha paling mudah yang untuk dilakukan oleh setiap umat Islam," kata teks khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk "Baitulmaqdis kami mencintaimu".

Selain doa yang disifatkan menjadi kewajipan umat Islam, mimbar berkata yang sumbangan kewangan juga boleh diberikan melalui badan yang diiktiraf.
Di sebalik penentangan masyarakat antarabangsa, Presiden AS Donald Trump pada 6 Disember lalu memutuskan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis - kota suci buat penganut Islam, Kristian dan Judaisme - sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaan mereka yang kini di Tel Aviv.
Susulan itu, Hamas melancarkan Intifada ketiga bagi melawan keputusan itu dan berkata ia adalah "pengisytiharan perang terhadap warga Palestin".
Menurut Al-Jazeera, beberapa serangan oleh pihak Palestin dan Israel setakat ini telah meragut lima nyawa.

Majlis Keselamatan PBB yang dianggotai lapan negara mengecam tindakan Trump dalam mesyuarat tergemparnya 8 Oktober lalu, dan menyifatkan ia telah menjejaskan usaha perdamaian untuk konflik itu.
Dalam pada itu, mimbar berkata umat Islam wajib mengembalikan Palestin dan masjid Al-Aqsa kepada umat Islam, seperti yang diputuskan banyak ulama' termasuk ketika persidangan oleh badan bernama Liga Muslim Dunia (Majma’ al-Fiqh al-Islami) di Kuwait pada 2001.
“Umat Islam juga wajib bersatu mempertahankan kesucian Islam dengan meninggalkan perselisihan dan perbalahan yang selama ini menjadi duri dalam daging...bagi menentang kezaliman yang dilakukan Zionis yang telah lama menindas umat Islam," kata mimbar lagi.

