Mahkamah Persekutuan hari ini sekali lagi menolak permohonan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas anggota Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk melucutkan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif daripada mendengar rayuan berhubung keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang tidak mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata panel tiga anggota itu tidak melihat sebarang merit dalam permohonan yang dibuat oleh bekas anggota Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

"Kami berpendapat bahawa permohonan itu tidak termasuk dalam prinsip dan skop Peraturan 137 dari Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan.

"Kami berpendapat bahawa bukan untuk panel sekarang mempertimbangkan sama ada panel sebelum ini telah atau tidak membuat keputusan yang betul sebelum fakta-fakta yang dikemukakan kepada mereka," kata Zulkefli yang mengetuai panel tiga anggota itu.

Mahkamah tidak membuat sebarang arahan mengenai kos.

Dua hakim lain yang bersidang bersama hari ini adalah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Aziah Ali.

Terdahulu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Gopal Sri Ram, yang mewakili Zaid, berkata pendaftar dimaklumkan bahawa pelucutan Raus akan dipohon kerana terdapat bukti fotografi yang menunjukkan bahawa beliau berada di majlis hari jadi Najib.

"Kami membuat permohonan secara lisan, kami memaklumkan pendaftar bahawa ketua hakim menghadiri majlis di rumah perdana menteri.

"Saya menelefon pendaftar dan memintanya memberi nasihat kepada ketua hakim bahawa kami akan memohon supaya beliau dilucutkan, kerana beliau berada di majlis itu dan duduk di sebelahnya (Najib), yang adalah sasaran sebenar dalam kes ini," kata Gopal.

Tetapi Raus menolak untuk menarik diri dan berkata bahawa beliau akan memutuskan kes berkenaan berdasarkan undang-undang.

Gopal hari ini menegaskan bahawa terdapat bahaya kecenderungan, sambil menekankan bahawa tidak sesuai untuk Raus untuk membicarakan kes berkenaan.

Zulkefli bagaimanapun berkata, ramai lain yang hadir semasa majlis itu, tetapi Gopal membalas dengan menjawap bahawa Raus adalah satu-satunya hakim yang hadir.

Apabila ditanya sama ada kehadiran Raus mungkin atas kedudukannya sebagai ketua hakim, Gopal merujuk kepada majlis yang bersifat peribadi itu.

"Ini tidak memberikan gambaran betul. Hakim mesti melakukan yang terbaik untuk menyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak dicuriga.

"Hakim harus berhati-hati dengan siapa mereka bergaul. Jalan yang paling selamat adalah untuk menarik diri daripada mendengar kes itu," katanya.

[Baca berita penuh]