Dakwa maklumat sulit bocor, TMI buat laporan polis
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarang The Malaysian Insight (TMI), Jahabar Sadiq hari ini membuat laporan polis mendakwa kebocoran maklumat sulit dalam kenyataannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Jahabar dipetik oleh portal itu sebagai berkata beliau mengetahui mengenai kebocoran maklumat itu melalui sebuah artikel yang diterbitkan oleh laman sesawang Malaysian Gazette.
"Saya khuatir bahawa butir-butir peribadi saya dalam dokumen keterangan saya yang dikatakan sulit telah dibocorkan kepada (Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk) Azwanddin (Hamzah) dan orang ramai dalam artikel.
"Saya harap pilhak polis boleh menyiasat bagaimana kebocoran dokumen sulit ini berlaku dan mengambil tindakan yang sesuai kerana perkara ini telah menghakis keyakinan saya kepada SKMM," kata Jahabar.
Laporan itu dibuat di balai polis Sri Hartamas pagi ini oleh Jahabar yang disertai seorang peguam.
Selasa lalu, Jahabar ke ibu pejabat SKMM di Cyberjaya untuk memberikan kenyataannya berhubung rencana lidah pengarang portal itu yang didakwa kritikal terhadap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga forex Bank Negara Malaysia.
Selain itu, SKMM juga sedang menyiasat sama ada TMI melanggar mana-mana undang-undang dalam laporannya itu yang didakwa menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun semalam, Malaysian Gazette mendedahkan antara lain, syarikat induk TMI, Inside Media Sdn Bhd menerima dana asing.
Hari ini, Azwanddin membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan TMI memperoleh dana dari luar negara untuk mengganggu kestabilan ekonomi dan politik negara.
Beliau berkata, hasil aduan dan maklumat yang diperoleh pihaknya melalui portal, My Aduan Rasuah mendapati terdapat bukti portal itu menerima wang tunai hampir RM3 juta daripada pihak yang tidak dikenal pasti.

