Peguam hak asasi manusia, Amerika Syarikat, Kimberley Motley perlu memahami dan menghormati undang-undang Malaysia sebelum membuat desakan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Menurutnya, desakan Motley atas nama perjuangan hak asasi dan keadilan kerana Anwar adalah tahanan politik adalah satu pandangan yang sempit dan membuktikan beliau tidak memahami dan menghormati undang-undang negara ini.

"Jelas sekali pandangan Motley hanya bertumpu soal hak asasi sedangkan sistem undang-undang di Malaysia adalah lebih telus dan jelas.

"Persoalannya, adakah Motley adalah peguam rasmi yang dilantik oleh Anwar atau pihak keluarganya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Motley dalam satu kenyataan bersama pada Rabu lalu berkata, Anwar sebagai tahanan politik dan perlu dibebaskan segera.

Menyifatkan Anwar sebagai 'banduan hati nurani', Mahathir dan Motley berkata bekas ketua pembangkang itu kini berusia 70 tahun dan memerlukan rawatan kesihatan.

Walau bagaimanapun, bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan menyatakan kekesalannya dengan gesaan pembebasan itu dan menyifatkan bekas perdana menteri itu mempolitikkan kes jenayah yang telah diputuskan di mahkamah demi kepentingan politik.

Katanya, Mahathir sepatutnya lebih tahu dan dirinya adalah mangsa sebenar tindakan jenayah Anwar.

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan ke atas Anwar atas kesalahan meliwat Saiful.

Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, Motley perlu mempertimbangkan perasaan mangsa yang diliwat jika Anwar dibebaskan hanya sebab tanggapan penahanan politik.

"Sudah tentu keputusan itu langsung tidak akan mengimbangi keadilan.

"Mengapa perlu kita meyakini orang asing sedangkan Malaysia berdiri teguh dan diperakui dunia sejak kita merdeka lagi sebagai negara berdaulat," katanya.