Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dakwaan Stadium Manjung di Lumut tidak selamat digunakan adalah tidak benar, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata stadium itu kini sedang dalam proses baik pulih dan menaik taraf dengan tambahan kapasiti penonton dari 5,000 hingga 12,000 bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) tahun hadapan.

"Setakat ini ia mengikut jadual dan tidak berlaku kelewatan bagi membaiki prasarana dan fasiliti sedia ada untuk menghadapi Sukma 2018," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang menyatakan Stadium Manjung tidak selamat pada Rabu lalu.

Stadium Manjung dijadualkan siap sepenuhnya Januari 2018 dan akan digunakan sebagai venue utama pada kejohanan Sukma yang akan diadakan September tahun hadapan.

Telus, pastikan bantuan sampai

Sementara itu, Zambry yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor meminta ketua masyarakat atau pihak terlibat supaya lebih telus dalam memastikan kesemua bantuan persekolahan sampai ke golongan yang memerlukan.

Pada program tersebut, 600 pelajar di sekitar Pangkor menerima sumbangan pakaian seragam serta barang kelengkapan persekolahan daripada PLUS Malaysia Berhad (Plus).

Sementara itu, Pengarah Urusan Plus Datuk Azman Ismail berkata pihaknya sedang meningkatkan kawalan dengan menambah anggota Plus di kawasan tertentu bagi memastikan faktor keselamatan dalam keadaan terbaik.

Kesesakan trafik yang mendadak ketika musim cuti persekolahan berbeza dengan cuti perayaan yang tidak membenarkan kenderaan berat menggunakan jalan raya.

"Kita akan pastikan pasukan peronda dan kecemasan dapat bertindak balas dengan secepat mungkin jika berlaku sesuatu kemalangan di laluan terlibat supaya tidak berlaku kesesakan trafik yang teruk," katanya.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS