Terjemahan Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) telah menerima surat tunjuk sebab daripada pihak universiti kerana didakwa menghantar emel berhubung kes pensyarah Prof Dr Edmund Terence Gomez.

Dalam surat tersebut yang bertarikh 6 September, pelajar tahun tiga pengajian perakaunan, Wong Teck Chi diberi tempoh seminggu untuk menjelaskan perkara tersebut.

Surat tersebut ditandatangani oleh Ketua Penolong Pendaftar (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), R Ambihapathy, menyatakan bahawa satu aduan/laporan telah diterima mengenai emel tersebut, daripada bahagian pentadbiran dan perundangan UM, pada 17 Jun lalu.

"Selepas siasatan dijalankan, mereka mendapati, emel tersebut dihantar keluar oleh kami ((Wong)," kata surat tersebut yang turut disiarkan dalam weblog pelajar berkenaan.

Menurut surat itu lagi, tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya pihak universiti tidak menerima sebarang jawapan daripada Wong.

Surat tersebut tidak menyatakan secara khusus emel yang dimaksudkan itu, tetapi adalah dipercayai adalah emel yang dihantar oleh Wong selaku Naib Presiden (hal-ehwal dalaman) Umany (Sahabat Persatuan Untuk Belia Baru Universiti Malaysia).

Salinan emel itu, dalam bahasa Melayu, telah dihantar kepada pihak berkuasa kampus UM dan pertubuhan media. Antara lain, ia mengkritik cara pihak universiti mengendalikan kes Gomez.

Mengapa sekarang?

Sementara itu, wakil Umany mempersoalkan mengenai masa surat dikeluarkan, iaitu ketika pilihanraya kampus akan berlangsung tidak lama lagi.

Adalah difahamkan Wong bercadang untuk bertanding dalam pilihanraya kampus kali ini.

"Mengapa sekarang? Isu Gomez sudah tiga bulan berlalu," kata pelajar berkenaan yang tidak mahu namanya disebut.

Dia percaya, surat tersebut digunakan sebagai alasan bagi pihak berkuasa universiti untuk mengumpul maklumat mengenai persediaan menghadapi pilihanraya kampus.

"Kami difahamkan yang jabatan hal-ehwal pelajar telah mengubuhi Wong beberapa kali dan memintanya supaya menemui pegawainya, kononnya ada kaitan dengan surat tersebut...tetap kami rasa ia adalah percubaan mereka untuk mendapat maklumat mengenai persediaan kami menghadapi pilihanraya kampus kali ini," tambahnya.

(Para pelajar dilarang membuat kenyataan media mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) tanpa kebenaran bertulis daripada naib canselor).

Gomez pensyarah fakulti ekonomi, terpaksa meletakkan jawatannya selepas pihak universiti itu enggan meluluskan permohonan bercutinya untuk memegang jawatan dalam agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva.

Berikutan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, perletakan jawatan Gomez dibatalkan dan pemohonan cutinya itu diluluskan.