Kerajaan Terengganu menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah menyerahkan pentadbiran sekolah agama negeri kepada perajaan pusat kerana tidak mampu membiayai kos pengurusannya.

Exco Pendidikan dan Sains negeri, Datuk Dr Abdul Latif Awang, berkata kerajaan negeri masih mampu membiayai 13 sekolah agama yang membabitkan lebih 30,000 pelajar di seluruh negeri itu.

Oleh itu, beliau menolak laporan lamanweb Marangdaily bahawa pentadbiran sekolah agama telah diserahkan kepada kerajaan pusat kerana kos pengurusan sebanyak RM40 juta setahun, membebankan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kata Dr Abdul Latif berkata, satu kajian sedang dibuat bagi meningkatkan mutu pendidikan sekolah agama di negeri itu.

"Kajian itu meliputi pelbagai aspek, termasuk pembinaan sekolah baru dan bilangan tenaga pengajar, selaras dengan perkembangan pesat dalam industri pendidikan negara," katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Beliau berkata, kajian tersebut dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini dan akan diteliti oleh kerajaan negeri, sebelum langkah susulan diambil.

Bantuan kewangan

Sementara itu, jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat) berkata, satu kerjasama dijangka dibuat antara pihaknya dengan Kementerian Pelajaran bagi menguruskan sekolah agama negeri.

Beliau berkata, antara bentuk kerjasama yang dicadangkan itu ialah penghantaran lebih ramai guru dan bantuan kewangan kepada sekolah agama negeri.

Katanya, dengan adanya kerjasama tersebut, beban yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri untuk menguruskan sekolah agama dapat dikurangkan.

"Buat masa ini, 75 peratus guru ditanggung oleh kerajaan negeri manakala 25 peratus lagi dibantu oleh Kementerian Pelajaran," katanya.

Bagaimananapun, beliau enggan menyatakan jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan negeri untuk menguruskan sekolah agama di Terengganu.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh pernah berkata, sekolah agama negeri tidak akan diserahkan kepada Kementerian Pelajaran kerana kerajaan negeri masih mampu membiayainya.