Pusat pembedahan kosmetik di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan kematian kontroversi pesakit Australia mempertahankan kaedah rawatan yang mereka berikan.

Beverly Wilshire Medical Centre (BWMC) berkata doktor dan kakitangan sokongan mereka telah memberikan rawatan dan pembedahan terbaik kepada Leigh Aiple apabila mereka merawat mereka pada April 2014.

“Langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan dan meminimumkan risiko yang mungkin telah diambil termasuk pencegahan trombosis urat mendalam,” kata Dr M Nasir Zahari, pakar bedah yang membedah Aiple dalam satu kenyataan mewakili pusat rawatan itu.

Aiple (gambar) mati dua minggu selepas menjalani dua pembedahan di BWMC.

Ketika dalam rawatan, dia dilaporkan mengalami komplikasi pemulihan termasuk luka pecah.

Laporan oleh seorang koroner di Victoria yang dikeluarkan pada 4 Disember tahun ini menggambarkan piawai di pusat rawatan itu tidak mencapai piawai yang diamalkan di Australia.

Nasir yang merupakan graduan Edinburgh Royal College of Surgeons (FCRS) dan berpengalaman 18 tahun, berkata dia telah menjelaskan sepenuhnya kepada Aiple sebelum pembedahan berkenaan prosedur, rawatan selepas pembedahan, dan risiko serta komplikasi.

Dia menambah pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Australia dan menyampaikan rasa simpati kepada waris Aipel.

Bagaimanapun, Nasir enggan mengulas lanjut kerana pihaknya belum menerima salinan siasatan.

Selain mempersoalkan piawai rawatan yang disediakan Nasir (gambar) dan BWMC, laporan koroner Australia itu turut menjelaskan beberapa perbezaan antara Nasir dan Mark Ashton, bekas ketua pembedahan plastik di Hospital Royal Melbourne.

Salah satunya, pakar bedah Aipel menganggap dia tidak berdepan risiko tinggi darah beku dan memberikannya ubat dos rendah bagi mengelakkan pendarahan.

Bagaimanapun, Ashton dan rujukan perubatan yang dipetik Nasir bagi mempertahankan dos ubatannya, masing-masing mengatakan Aipel berdepan risiko tinggi kerana mempunyai berat badan 124kg.

Rujukan yang dipetik Nasir turut mencadangkan dos yang digunakan hanya separuh daripada jumlah yang seharusnya diberikan.

Rujukan itu juga menjelaskan pesakit perlu berada di bawah pemerhatian rapi dalam tempoh empat minggu selepas pembedahan dan dinasihatkan tidak menempuh perjalanan jauh menaiki kenderaan atau kapal terbang.
Ashton turut menjelaskan Aiple seharusnya dibawa semula untuk pembedahan apabila lukanya mula pecah dan mendaftarnya keluar dari pusat rawatan adalah “perkara paling buruk yang boleh dilakukan”

Nasir bagaimanapun percaya luka itu boleh tertutup sendiri kerana pecahan luka “agak kecil” pada 0.5cm.

Malaysiakini sudah menghubungi Kementerian Kesihatan untuk mengulas berkenaan perkara itu.

[Baca berita penuh]