Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akhbar Cina ramal Parlimen bubar akhir Februari
Diterbitkan:  Dec 19, 2017 2:16 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin membubarkan Parlimen seawal akhir Februari, bagi pilihan raya umum diadakan pada bulan Mac atau April, lapor akhbar Cina, Sin Chew Daily.

Laporan yang memetik sumber itu, berkata ini berikutan kejayaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengketepikan perintah mahkamah yang menghalangnya daripada menjalankan pendengaran mengenai bantahan terhadap proses persempadan pilihan raya di Selangor.

Apabila selesai pendengaran tersebut, laporan daripada setiap negeri boleh diserahkan kepada Najib yang akan memulakan proses perundangan yang diperlukan untuk persempadanan pilihan raya baru.

Sumber memberitahu akhbar itu satu sidang khas Dewan Rakyat boleh diadakan seawal Januari dan oleh itu, laluan persempadanan semula itu mampu diselesaikan sebelum pilihan raya.

Selangor adalah satu-satunya negeri di mana SPR masih belum menyelesaikan siri pendengaran mengenai bantahan tempatan berhubung proses persempadanan semula.

Kerajaan negeri mengheret SPR ke mahkamah pada 2016 untuk membatalkan cadangan proses persempadanan semula pilihan raya, yang menyaksikan proses pendengaran kira-kira 200 bantahan tempatan tidak dapat dijalankan.

Bagaimanapun, pada 7 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman kerajaan Selangor untuk mencabar notis persempadanan semula SPR tetapi membenarkan permohonan penangguhan keputusan itu.

Sebelum Aidilfitri

SPR mencadangkan untuk mengubah suai sempadan pilihan raya untuk 113 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia. Cadangan itu juga akan menyaksikan 12 kerusi parlimen dan 34 kerusi negeri dinamakan semula.

Akhbar itu berkata keputusan akhir akan menyaksikan kerusi campuran etnik yang lebih sedikit, berbanding lebih banyak kerusi yang mempunyai sama ada majoriti orang Melayu atau Cina.

"Penerima manfaat terbesar (oleh itu adalah) Umno dan DAP," petik laporan itu.

Akhbar itu turut membuat spekulasi bahawa pilihan raya tidak akan diadakan lebih lewat daripada 17 Mei - permulaan bulan Ramadan - meskipun Najib secara teknikal boleh menunggu sehingga 24 Jun untuk pembubaran parlimen secara automatik bagi PRU-13.

"Pertimbangan lain adalah ... ketua umum PKR, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dijadualkan dibebaskan dari penjara pada 9 Jun.

"(Pemerhati) percaya BN tidak akan menunggu sehingga Anwar dibebaskan sebelum membubarkan parlimen," petik laporan itu.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun atasa kesalahan meliwat pada Februari 2015. Beliau dijangka dibebaskan pada pertengahan tahun depan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS