Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah keluarkan waran tangkap ke atas Tian Chua

Dalam satu tindakan mengejutkan, seorang hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas Naib Presiden PKR, Tian Chua atas kegagalan menghadiri pengurusan kes rayuan keputusan dakwaan hasutannya.

Ahli parlimen Batu itu atau nama sebenarnya, Chua Tian Chang, 54, mahupun peguamnya dilaporkan gagal menghadirkan diri.

Hakim Datuk Sofian Abd Razak kemudian mengarahkan waran tangkap dikeluarkan kerana tidak Chua mahupun peguamnya tidak hadir di mahkamah sehingga jam 4 petang tadi.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim.

Pada 28 Sept tahun lalu, Tian Chua didapati bersalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan kerana didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan pada forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor selepas pilihan raya umum ke-13, lima tahun lalu.

Beliau didapati bersalah dan dihukum penjara tiga bulan dan denda RM1,800.

Tian Chua merayu berhubung kesalahan dan hukuman itu manakala pendakwaan memohon hukuman lebih tinggi.

Melalui peruntukan undang-undang Chua boleh dikenakan denda maksium RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau akan hilang kelayakan sebagai anggota parlimen jika didenda lebih daripada RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Sabitan dan hukuman begitu juga akan menghilangkan kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

Malaysiakini sedang menghubungi Chua untuk mendapatkan reaksinya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS